Program Publisiti dan Penyertaan Awam bagi Laporan Rancangan Struktur Labuan 2040 akan menjadi medium penting dalam menggariskan pelbagai cadangan dasar pembangunan di Wilayah Persekutuan Labuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa berkata, antara cadangan itu berkaitan perancangan fizikal, ekonomi, alam sekitar dan sosial di Wilayah Persekutuan Labuan.
Jelasnya, antara fokus laporan ini adalah menetapkan visi pembangunan di wilayah berkenaan serta gambar rajah utama yang memberi gambaran pembangunan fizikal menjelang tahun 2040.
“Bagi melengkapkan laporan ini, Perbadanan Labuan dan PLANMalaysia akan mengadakan sekurang-kurangnya sembilan program ‘outreach’ yang melibatkan pemegang-pemegang taruh bagi menerangkan Rancangan Struktur Labuan 2040 ini.
“Ia selainnya, mengumpul sebanyak mungkin pandangan dan hasrat daripada rakyat Wilayah Persekutuan Labuan bermula hari ini sehingga 29 Februari ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr. Zaliha berkata, pendekatan berunsur ‘bottom-up’ ini akan membolehkan Labuan dibangunkan mengikut keperluan dan kehendak rakyat.
“Pandangan dan penglibatan rakyat ini amat penting agar Rancangan Struktur Labuan 2040 ini menjadi lebih komprehensif dan mampan.
“Saya menyeru agar warga Wilayah Persekutuan Labuan mengambil kesempatan ini untuk menyuarakan hasrat dan inspirasi untuk dipertimbangkan bagi menambah baik laporan tersebut melalui saluran yang disediakan oleh Perbadanan Labuan.
“Maklum balas dan cadangan dari rakyat Wilayah Persekutuan Labuan amat diharapkan demi membantu pihak kerajaan untuk memastikan pembangunan fizikal, ekonomi, alam sekitar dan sosial Wilayah Persekutuan Labuan setara dengan pembangunan negeri-negeri lain,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr. Zaliha berkata, selepas kesemua proses pandangan awam ini diselesaikan, laporan itu akan dibentang semula kepada beliau sebelum digazetkan selewat-lewatnya sebelum tamat suku kedua tahun ini. – Kosmo! Online