Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perkhidmatan rangkaian 5G mencapai 80.2 peratus liputan di kawasan berpenduduk setakat 31 Disember lalu.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, ia selaras dengan ketetapan Perdana Menteri semasa pembentangan Belanjawan pada Februari lalu yang menyasarkan 80 peratus pada penghujung tahun lalu.

Tambahnya, Pasukan Petugas Khas juga akan bermesyuarat pada Jumaat ini bagi menentukan hala tuju serta langkah berikutnya.

Mesyuarat yang akan dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa itu akan disertai Digital Nasional Bhd (DNB), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), serta pengendali rangkaian mudah alih (MNO) yang menandatangani perjanjian langganan saham (SSA).

“Selepas ini keputusan daripada task force itu akan dimaklumkan semula kepada Jemaah Menteri dan kita jangka dalam tempoh yang tidak terlalu lama, pihak kerajaan akan menimbangkan untuk mengumum peralihan dari satu rangkaian borong single hold network menjadi dwi rangkaian, dua network dan pengumuman ini akan dibuat selepas Jemaah Menteri menimbang kemudian”, katanya dalam sidang Media Kerajaan Madani di Putrajaya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kekal berada di bawah Kementerian Komunikasi. Manakala, MIMOS dipindahkan ke Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Turut dipindahkan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Digital Nasional Bhd (DNB), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Cybersecurity Malaysia yang diletakkan di bawah Kementerian Digital.

“Sebelum ini Cybersecurity Malaysia dimaklumkan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, tetapi Perdana Menteri telah setuju bahawa aspek-aspek korporat kerja-kerja berkaitan dengan syarikat-syarikat swasta ini boleh diteruskan dan sesuai untuk diletakkan di bawah Kementerian Digital”, katanya.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebelum ini di bawah Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) kini diletak di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam Malaysia.-Berita RTM