Sorting by

×

Laporan menyeluruh berhubung peruntukan dan pelaksanaan mengenai penyelesaian isu bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada tahun lalu perlu dikemukakan.

Gesaan itu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan laporan itu diserahkan kepadanya dalam waktu terdekat ini.

Jelas Anwar, beliau pernah meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta kepada UMS bagi tujuan berkenaan pada Mei tahun lalu, namun isu bekalan air masih berlarutan sejak sekian lama.

“Tahun lalu saya sampai ke sana, saya dengar keresahan (aduan) dan saya mintak (pengesahan) daripada naib canselor, ya (beliau mengesahkan isu berkenaan), dan saya luluskan (peruntukan).

“Jadi saya tidak mengerti (mengapa tidak selesai), mungkin projek itu mengambil masa.

“(Bagaimanapun) saya tidak mahu membuat keputusan menghukum, saya cuma minta laporan teliti sejak peruntukan itu diluluskan,” katanya.

Perdana Menteri berucap pada perhimpunan warga Kementerian Kewangan bersama Perdana Menteri di kementerian itu di sini, hari ini.-Berita RTM