Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tegas menyatakan komitmen bahawa negara perlu diurus dengan tatakelola yang baik.
Usaha itu merangkumi agenda utama memerangi dan membanteras budaya rasuah di negara serta memastikan tiada kegiatan kotor itu berlaku dalam Kerajaan Perpaduan.
Tambah Anwar, pendiriannya kekal meletakkan kepentingan rakyat sebagai asas utama dalam pentadbiran selain disokong agenda pembudayaan integriti serta Pelan Antirasuah Nasional (NACP).
“Mereka yang sapu berbilion ringgit. Namun, ada yang melindungi mereka dengan mengatakan itu kes lama. Di bawah kepimpinan saya, walaupun ada satu kes rasuah, percayalah saya tidak akan memberikan peluang.”
“Tidak kira yang menyokong saya atau parti yang tidak menyokong saya,” kata Anwar dalam Simposium Tatakelola Baik Nasional yang bertema ‘Tatakelola Baik Aspirasi Negara MADANI’, di sini hari ini.
Anwar berharap dengan pelaksanaan simposium tersebut dapat menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh tatakelola baik negara sekali gus memfokuskan agenda pembangunan negara ke arah Malaysia berintegriti dan bebas rasuah.
Sementara itu, mengenai pengenalan Arahan YAB Perdana Menteri No.1 Tahun 2023 hari ini, Anwar menyifatkan arahan itu penting untuk memantapkan tatakelola nasional terutama melibatkan perkhidmatan awam.
Empat terma rujukan digariskan dalam arahan berkenaan iaitu Reformasi Institusi, Dasar dan Undang-Undang, Sistem dan Prosedur Kerja, Pemantauan dan Penilaian serta Pembudayaan Amalan Nilai dan Tatakelola Baik. -Berita RTM