Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kedatangan tahun baharu 2024 diharap membawa suasana lebih cerah dan positif untuk rakyat keseluruhannya.

Menerusi perutusan khas tahun baharu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh pimpinan dan jentera Kerajaan Perpaduan agar terus memberi tumpuan kepada aspek pembangunan ekonomi bagi meredakan kesusahan dihadapi rakyat.

“Mudah-mudahan tahun 2024 memberi suasana lebih cerah, positif untuk rakyat Malaysia dan tanggungjawab jentera kepimpinan adalah memberi pendekatan dan tumpuan kita terhadap pertumbuhan ekonomi bagi meredakan nasib rakyat daripada segi pelaburan, inflasi, kos sara hidup, mutu pendidikan, khidmat kesihatan dan khidmat kepada rakyat keseluruhannya dapat terjamin,” kata Anwar dalam satu hantaran video di Facebooknya.

Beliau turut berkongsi rumusan prestasi kerajaan sepanjang 2023 termasuk pertumbuhan ekonomi 4% peratus, selain usaha mengawal inflasi dan pengangguran yang kini berada pada paras terendah.

Aspek tata kelola terus diberi perhatian, dengan penghargaan dizahirkan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang berjaya menjalankan tanggungjawab mengutip hasil negara bebas daripada aktivti penyelewengan.

Kekuatan dan kestabilan kerajaan juga berjaya menyuntik keyakinan pelabur luar dengan jumlah komitmen pelaburan asing diraih mencecah RM350 bilion.

Keyakinan itu dipacu dengan dasar jelas termasuk kerangka Ekonomi MADANI, Pelan Peralihan Tenaga, transformasi digital, selain pelan induk perindustrian baharu (NIMP 2030).

“Mungkin peratus rendah tetapi bagi yang tertekan, dengan kehidupan dan kos sara hidup, ia mesti segera ditangani.”

“Suasana ketidaktentuan di beberapa tahun kebelakang adalah pedoman terbaik bahawa kita harus bekerja sebagai satu pasukan berlanjutan daripada asas politik yang kukuh.”

“Ini hanyalah mukadimah kepada jalan panjang ke arah reformasi dan kita semestinya tidak boleh terpukau kerana sekiranya terpukau, kita akan lena,” jelas Anwar.-Berita RTM