Sorting by

×

Sebanyak 20 kes COVID-19 dikesan melibatkan penduduk terjejas banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS). 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata jumlah itu melibatkan PPS di Kelantan dan Terengganu dari 22 Disember lepas hingga semalam.

Katanya, daripada jumlah itu, 15 kes dilaporkan di Kelantan manakala lima kes lagi di Terengganu.

“Kesemua kes COVID-19 yang dilaporkan adalah stabil dan terdiri daripada kategori dua (17 kes), kategori tiga (2 kes) dan kategori empat (1 kes) bahkan kes COVID-19 kategori empat merupakan warga emas dengan komorbid hipertensi tidak terkawal, namun pesakit terbabit telah keluar dari Hospital Jeli di Kelantan, semalam,” kata Dzulkefly dalam satu sidang media selepas melawat penduduk terjejas banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Jeli 1 di sini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Norhayati Rusli dan Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin.

Dalam masa sama, Dzulkefly turut menyatakan sebanyak 297 pasukan perubatan turut digerakkan bagi memberi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk terjejas banjir, selain 102 pasukan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) dan 286 pasukan promosi.

“Pasukan ini kesiapsiagaan di Kelantan adalah sangat baik dan hari ini kita perhatikan setiap hari saya melihat kepada beberapa PPS, saya kira sangat terkawal di mana kita bukan hanya mengesan dan memantau penduduk terjejas, bahkan barisan hadapan kita. Kita doakan ujian dan penilaian sebab kita sedar kesihatan mental, sokongan kesihatan mental dan sebagainya,” kata Dzulkefly.

Tambahnya, aktiviti kawalan dan pencegahan penyakit sentiasa dilakukan oleh pasukan kesihatan di PPS bagi mencegah penularan penyakit berjangkit.-Berita RTM