Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sarawak sudah menerima bekalan diesel tambahan seperti yang diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, dua hari lalu.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak, Peter J Berinus Agang berkata, bekalan diesel tambahan itu kini diagihkan ke seluruh Sarawak.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan kuantiti diesel tambahan itu kerana masih mengumpul maklumat di lapangan.

“Pegawai kami (KPDN Sarawak) sedang mengesahkan bahawa stesen minyak sudah menerima bekalan mengikut jumlah sebenar, namun kami bimbang kalau maklumat (disalurkan kepada media) dipertikaikan apabila terdapat kesilapan kerana penghantaran perlu diselaraskan.

“Ini kerana pergerakan logistik membabitkan seluruh kawasan di Sarawak,” katanya ketika dihubungi media menerusi WhatsApp, hari ini.

Rabu lalu, Armizan berkata, Petronas Dagangan Berhad sedang menggerakkan bekalan diesel tambahan ke Sarawak selepas bekalan bahan api itu terganggu di stesen milik Petronas di negeri ini.

Beliau berkata, Petronas dikehendaki menyediakan senarai stesen minyak yang terbabit dalam penghantaran bekalan tambahan itu bagi membolehkan pemantauan menyeluruh dibuat.

Menurut Armizan lagi, sementara pihaknya berusaha menyelesaikan isu itu dengan segera bagi memenuhi keperluan pengguna di kawasan terjejas, Petronas dan syarikat minyak terbabit diminta mengemukakan laporan penuh dan dokumen terperinci mengenai punca masalah bekalan itu.

Sementara itu, tinjauan di beberapa stesen minyak Petronas sekitar Kuching hari ini mendapati, tiada masalah bekalan bahan api yang dikesan.

Kenderaan berat yang menggunakan diesel didapati mengisi bahan api itu seperti biasa dan tiada kenderaan beratur panjang untuk melakukan pembelian panik.

Masalah bekalan diesel berlaku di Sarawak sejak beberapa hari lalu sehingga mencetuskan kebimbangan pemilik kenderaan yang memerlukannya untuk perjalanan jauh sempena cuti perayaan. -Harian Metro