Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) tidak akan menyokong sebarang usaha menggantikan kerajaan perpaduan secara “tebuk atap”, kata Presidennya, Ewon Benedick.
Menteri pembangunan usahawan dan koperasi itu berkata, pembentukan kerajaan sedia ada hasil perundingan sah dan ia perlu dikekalkan sehingga tamat tempoh pentadbiran kerajaan perpaduan atau Parlimen dibubarkan.
“Selagi saya menjadi presiden Upko, saya tidak akan memberi sokongan kepada mana-mana usaha cuba menggantikan kerajaan yang ditubuhkan atau dipilih selepas perundingan dan perbincangan sah untuk menubuhkan kerajaan,” katanya menurut Bernama pada Majlis Ramah Mesra dan Rumah Terbuka Krismas di Pusat Kebudayaan Penampang di Sabah hari ini.
Turut hadir Yang Dipertua Sabah, Juhar Mahiruddin dan isteri, Norlidah RM Jasni serta Ketua Menteri, Hajiji Noor.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang dan Adun Kadamaian yakin perbuatan tebuk atap tidak akan berlaku, termasuk di peringkat kerajaan Sabah kerana beliau antara wakil rakyat yang menghalang cubaan menggulingkan kerajaan negeri sebelum ini.
Katanya, dalam usaha membangunkan infrastruktur, ekonomi dan tuntutan hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan memerlukan kestabilan politik negeri, justeru atas dasar itu, sokongan penuh perlu diberikan kepada kepimpinan ketua menteri Sabah.
Upko sebahagian daripada parti komponen Pakatan Harapan (PH) bersama PKR, DAP dan Amanah yang membentuk kerajaan perpaduan.
Sabtu lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menyuarakan keyakinannya bahawa cubaan menjatuhkan kerajaan perpaduan menerusi usaha menukar sokongan atau tebuk atap tidak akan berlaku berikutan sokongan padu diberikan Sarawak.
Dalam situasi politik semasa, katanya, pendirian Sarawak melalui Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu agak kritikal kerana hanya dengan kenyataan dan dukungan parti utama di Sarawak, iaitu GPS dan di Sabah, iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang akan memungkinkan perubahan kerajaan berlaku.
Semalam, Setiausaha Agung GRS, Masidi Manjun dilaporkan berkata, gabungan parti itu kini fokus usaha memulih serta membangunkan ekonomi untuk rakyat, bukannya menggantikan kerajaan perpaduan dengan menukar sokongan atau tebuk atap.-FMT