Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLiC) harus menggembleng tenaga untuk menyokong aspirasi negara sebagai destinasi pelaburan dan hab ekonomi Islamik bertaraf dunia.

Malah, kedua-duanya turut diminta bekerjasama bagi meningkatkan pelaburan di sektor digital serta menggalak sektor perusahaan mikro,kecil dan sederhana (PMKS) melebarkan pasaran ke negara-negara serantau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara berkenaan dibincangkan semasa mempengerusikan mesyuarat dengan Ketua-ketua Pegawai Eksekutif GLIC dan GLC semalam.

“Semalam saya telah mempengerusikan mesyuarat dengan Ketua-ketua Pegawai Eksekutif Syarikat-syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC). Perbincangan ini adalah mukadimah kepada reformasi GLIC dan Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) agar mereka lebih tertumpu kepada pembangunan serta kesejahteraan rakyat seperti yang digariskan dalam kerangka Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat,” katanya melaui satu hantaran di Facebook.

GLIC mempunyai tanggungjawab untuk bersama-sama dengan kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan pendapatan rakyat terbanyak, menurut beliau.

GLIC di Malaysia berupaya menggerak dan melonjak ekonomi Malaysia ke depan dengan jumlah saiz aset di bawah pengurusan bernilai RM 1.84 trilion, yakni hampir sama dengan saiz keluaran dalam negeri kasar (KDNK) nominal Malaysia pada tahun ini.

Anwar berkata, semasa sesi tersebut, beliau telah memberi mandat kepada GLIC untuk meningkatkan pelaburan langsung domestik masing-masing.

“Saya menerima baik cadangan-cadangan Ketua-ketua Pegawai Eksekutif GLIC untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan kemajuan ekonomi tempatan.

“Ini termasuklah menambah baik perbelanjaan daripada kutipan zakat korporat, menjalinkan usaha sama dengan sektor swasta bagi membangunkan penginapan pelajar-pelajar serta menggembleng lebih dana untuk pelaburan di syarikat-syarikat tidak tersenarai dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” tambah beliau.

Anwar turut menambah, kerajaan akan terus mengadakan mesyuarat berkala yang akan dipengerusikan oleh beliau atau Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan untuk memantau pencapaian dan kemajuan inisiatif yang diterajui oleh GLICs bagi memastikan misi-misi ini tercapai.

“Insya-Allah, dengan pendekatan ini, Malaysia akan melangkah lebih cepat ke arah kemajuan yang mampan dan saksama,” ujarnya.