Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Putrajaya akan mendapatkan pampasan daripada bank antarabangsa yang gagal mematuhi prosedur KYC (know your customer), yang membawa kepada penyelewengan dana, kata Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas 1MDB Datuk Seri Johari Ghani.

Johari menambah bahawa terdapat tujuh atau lapan bank antarabangsa terlibat dalam perkara itu.

“Kalau kita (ingin) mengambil tindakan kepada bank luar negara yang memudahkan transaksi dan tidak menggunakan KYC yang betul, jadi mungkin juga boleh mulakan tindakan undang-undang kerana tidak jalankan KYC sepatutnya, yang menyebabkan banyak duit ini terlepas kepada akaun-akaun tidak sepatutnya,” katanya.

Beliau mengulas demikian dalam temubual eksklusif bersama RTM1 semalam.

Bagaimanapun, Johari berkata oleh kerana kerajaan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kes timbang tara terhadap bank pelaburan Goldman Sachs, tiada apa yang dimuktamadkan lagi.

“Kita cuba dapatkan sebanyak mana yang mungkin daripada perjanjian penyelesaian pada 2020. Kita sebenarnya bukan untung dari segi pemulihan tetapi masih rugi.”

Goldman Sachs membuat pembayaran awal USD 2.5 bilion pada September tahun itu sebagai sebahagian daripada penyelesaian 2020 dengan Malaysia.

Sebagai pertukaran untuk Malaysia bersetuju untuk menggugurkan tuduhan jenayah terhadap firma itu dan tidak membawa tuduhan baharu, ia juga menjamin pemulangan USD 1.4 bilion aset 1MDB yang dirampas oleh pihak berkuasa di seluruh dunia.

Bank itu juga dikehendaki membuat pembayaran interim sebanyak USD 250 juta jika Malaysia tidak menerima sekurang-kurangnya USD 500 juta aset dan hasil menjelang Ogos 2022, menurut Goldman Sachs.

Pada Oktober, syarikat itu menyaman kerajaan di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London berikutan perselisihan faham mengenai terma penyelesaian USD500 juta.

Goldman Sachs mendakwa bahawa ambang USD500 juta telah dipenuhi.