Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Bukit Aman menyiasat blogger Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris berhubung penyiaran video yang mengaibkan Perdana Menteri.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa ketika mengesahkan perkara itu, berkata kenyataan mengaibkan itu dikesan dibuat menerusi satu hantaran video secara langsung (live), kelmarin.

Beliau berkata hantaran video berdurasi 1 jam 32 minit dan 50 saat turut disiarkan di saluran YouTube lelaki berkenaan.

Rusdi berkata siasatan kini dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kes masih di peringkat siasatan, oleh itu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau komentar yang boleh mengganggu proses siasatan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai tidak menyalahgunakan platform media sosial untuk mengulas atau memanipulasi isu-isu sehingga menyentuh isu ketenteraman awam, prinsip moral, fitnah atau pengapian apa-apa kesalahan.

Tegas beliau, pihak PDRM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak dikesan melakukan perkara sedemikian.-BH Online