Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan berbincang dengan pihak institusi pendidikan tinggi (IPT) seluruh negara bagi mengenal pasti universiti yang memerlukan penyelesaian berkaitan masalah kediaman pelajar.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata beliau dimaklumkan oleh pengurusan tertinggi KPT terdapat beberapa universiti yang perlu menyelesaikan masalah itu dengan kadar segera, namun beliau tidak mendedahkan jumlah serta universiti terbabit.
“Saya telah bincang dengan pihak pengurusan tertinggi KPT supaya kita kenal pasti universiti yang perlukan penyelesaian segera (masalah kediaman pelajar). null
“Mereka telah maklumkan kepada saya beberapa universiti yang perlu kesegeraan untuk kita selesaikan masalah itu,” katanya selepas melawat Kolej Kediaman Ungku Omar, di Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini hari ini.
Berkenaan lawatan hari ini, Zambry berkata beliau hadir untuk mendengar keluhan serta masalah yang dihadapi pelajar berkaitan kediaman di dalam universiti itu.
Katanya, kapasiti yang ada pada kampus tersebut ketika ini hanya 40 peratus, namun UPSI sudah membuat perancangan meningkatkan jumlah itu kepada 70 peratus.
“Sekarang lebih kurang 7,000 pelajar tinggal di kampus dan jangkaan kita ia boleh ditingkatkan kepada 14,000 kapasiti di sini pada Oktober tahun hadapan, namun saya juga bangkitkan tentang keselesaan pelajar.
“Saya buat tinjauan di beberapa unit yang ada dalam kampus dan bertanya pada pelajar, setakat ni mereka selesa. Nak tambah kapasiti pun kena ambil kira keselesaan mereka,” katanya.
Zambry berkata kos sara hidup meningkat, kadar sewa tinggi dan rumah sewa yang terhad di luar adalah antara faktor yang telah diambil kira dalam membantu pelajar.
Sementara itu, dalam isu berkaitan penularan COVID-19, Zambry berkata setakat ini keadaan di IPT masih terkawal dan KPT akan terus mendapatkan panduan serta arahan daripada Kementerian Kesihatan bagi mengekang penyebaran wabak tersebut.
“Saya berharap semua pihak sama ada pelajar atau komuniti yang berada di kampus ambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan masalah penyebaran COVID-19 tidak berlaku di kawasan kampus masing-masing,” katanya.
Pada 13 Disember, kes COVID-19 dalam negara dilaporkan meningkat kepada 12,757 kes pada Minggu Epidemiologi ke-49 iaitu dari 3 hingga 9 Dis lepas berbanding 6,796 kes dilaporkan pada minggu sebelumnya.-BH Online/Bernama