Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI bermula 8 hingga 10 Disember ini akan menjadi platform terbaik bagi rakyat untuk memahami segala pelaksanaan dasar, inisiatif dan pencapaian Kerajaan Perpaduan sepanjang tempoh satu tahun pentadbiran.
Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil berkata, program yang bakal berlangsung di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil itu akan melibatkan pelbagai kementerian.
“Untuk tahu lebih lanjut tentang inisiatif kerajaan, saya ingin mengajak semua ke Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI pada 8 hingga 10 Disember ini di Pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil,” kata Fahmi menerusi Facebooknya.
Sementara itu, Fahmi turut berkongsi kejayaan KKD dalam tempoh setahun ini antaranya inisiatif penurunan harga internet sehingga inflasi telekomunikasi mencecah negatif, serta pemerkasaan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) dalam membantu masyarakat setempat.
“Hari ini genap setahun saya di KKD!
“Pagi tadi saya berkongsi beberapa inisiatif dan usaha KKD sepanjang tahun 2023. Antaranya, inisiatif menurunkan harga internet sehingga inflasi telekomunikasi mencecah negatif (-3.7%)
“Saya turut memaklumkan tentang usaha pemerkasaan PEDi termasuk inisiatif 1 DUN 1 PEDi bagi menggalakkan penduduk setempat menjana ekonomi tambahan,” ujarnya.
Fahmi menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia: Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang disiarkan secara langsung menerusi saluran Bernama TV pagi tadi.