Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Lima pengendali rangkaian mudah alih (MNO) memeterai perjanjian langganan saham (SSA) bagi memegang kepentingan dalam Digital Nasional Bhd (DNB), sekali gus mengukuhkan lagi infrastruktur 5G di Malaysia.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata lima MNO itu adalah CelcomDigi Bhd (CelcomDigi) menerusi Infranation Sdn Bhd, Maxis Broadband Sdn Bhd (Maxis), U Mobile Sdn Bhd (U Mobile), Telekom Malaysia Bhd (TM) dan YTL Power International Bhd (YTL).

Beliau berkata, melalui pemeteraian SSA itu, tertakluk kepada penilaian wajar akan membolehkan lima MNO itu memiliki 70 peratus pegangan saham dalam DNB secara kolektif atau 14 peratus pegangan saham secara individu.

“Setiap MNO yang memeterai perjanjian juga akan menyuntik sebanyak RM233 juta ke dalam DNB, yang akan digunakan untuk memenuhi keperluan pembiayaan pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia.

“SSA ini adalah pencapaian penting yang dicapai oleh Pasukan Petugas Pelaksanaan Dwirangkaian 5G Malaysia yang dianggotai oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Komunikasi dan Digital, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), DNB serta MNO,” katanya selepas majlis perjanjian SSA di sini, hari ini.

Fahmi berkata, kerjasama dengan MNO utama negara itu akan membolehkan penerimagunaan rangkai 5G dipertingkatkan bukan saja untuk pengguna komersial tetapi juga perniagaan dan industri.

Beliau berkata, SSA ini adalah permulaan untuk infrastruktur 5G di Malaysia dan kementerian akan terus memantau pelaksanaan supaya tiada masalah yang berbangkit.

“Perbincangan akan sentiasa diadakan supaya tidak akan berlaku masalah. Ia juga pencapaian kerana semua MNO utama negara boleh duduk semeja dan bersama demi negara,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perkembangan semasa Entiti B dan pemilikan kepentingan di dalamnya kelak, Fahmi berkata, selepas liputan 5G mencapai sebanyak 80 peratus di kawasan berpenduduk (CoPA) menjelang akhir tahun ini, barulah Entiti B akan diumumkan.

Beliau berkata, lima MNO yang sudah bersama DNB ini juga terbuka untuk terus bersama dengan DNB atau menyertai Entiti B.

Apabila perkara itu sedia kelak, katanya MNO boleh buat pertimbangan, bincang dan capai kata putus siapa (MNO) yang akan menyertai Entiti B.

“Namun pada masa sama pihak kementerian dan MCMC akan bertindak sebagai pengawal selia agar Entiti A dan Entiti B ini kelak akan bersaing dengan sihat yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Entiti B akan jadi komersial sepenuhnya dan kerajaan tiada kepentingan di dalamnya seperti Entiti A (DNB),” katanya.

Sehingga akhir Oktober 2023, langganan perkhidmatan 5G di Malaysia adalah berjumlah 3.6 juta dengan kadar penerimagunaan pada tahap 10.8 peratus.

Bagi meningkatkan kadar penerimagunaan 5G dalam kalangan pengguna, kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi telah memperkenalkan Pakej 5G Rahmah bermula Ogos 2023.-BH Online