Sorting by

×

Penjawat awam Perak bakal menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) pada kadar dua bulan gaji yang akan dibayar penuh pada 20 Dis ini.

Pemberian BKK itu juga melibatkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ex-Officio, semua guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan serta pekerja sambilan harian.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad ketika membentangkan Belanjawan 2024 membabitkan peruntukan RM1.35 bilion pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa menyanjung tinggi jasa dan komitmen penjawat awam sebagai tunjang serta tonggak kepada urusan pentadbiran kerajaan.

Pemberian BKK itu katanya sebagai menghargai dedikasi mereka dalam memikul tugas yang diamanahkan.

“Bayaran BKK turut dipanjangkan kepada semua ketua kampung bagi lantikan sebelum 15 Dis 2023 pada kadar RM400 seorang,” katanya.

Selain itu, Saarani turut mengumumkan insentif bernilai RM100,000 kepada pasukan Perak Bison yang berjaya merangkul kejuaraan Liga Sepak Takraw (STL) dan Piala Tun Ali 2023.

Kerajaan negeri katanya menyediakan peruntukan berjumlah RM27.8 juta bagi agenda pembangunan sukan antaranya untuk penyediaan bilik hidroterapi atlet, penyelenggaraan bangunan Majlis Sukan Negeri (MSN), program sukan dan sukan Orang Kurang Upaya (OKU) selain penganjuran acara Pelancongan Sukan sempena Tahun Melawat Perak 2024.