Sorting by

×

Perdana Menteri memberi jaminan kerajaan akan memberi keutamaan kepada projek perumahan generasi kedua dan ketiga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Bagaimanapun, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak mahu mengumumkan mengenai perkara itu dalam masa terdekat kerana tidak mahu dianggap sebagai ‘rasuah’ ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

“Saya tidak akan umum malam ini, tetapi percayalah saya akan beri keutamaan kepada perumahan generasi kedua dan ketiga di kawasan FELDA.

“Saya sebagai Perdana Menteri kena tunjuk contoh yang baik dalam berkempen. Pengumuman yang lain tidak akan dibuat.

“Tetapi pada masa akan datang, percayalah kita akan lakukan sedaya upaya untuk bawa perubahan kepada FELDA,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama komuniti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) , di Felda Seberang Tayor, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata ketika ini beberapa usaha sudah dilakukan termasuk memasang internet di beberapa kawasan Orang Asli.

“Kita tambah kemudahan terutamanya soal digital sebab perkara itu perlu, terutamanya untuk anak-anak bersekolah. Jadi yang belum selesai adalah perumahan generasi kedua dan ketiga,” katanya.

Sebelum ini, wakil penduduk FELDA Seberang Tayor turut meminta tiga perkara kepada Anwar termasuk mengenai perumahan generasi kedua selain permohonan pembinaan jalan keluar baharu sekiranya berlaku banjir di FELDA berkenaan serta peruntukkan bagi meninggikan beberapa kawasan yang sering terjejas banjir.-BH Online