Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan daripada Naib Presiden Indonesia, Dr Ma’ruf Amin, di sebuah hotel terkemuka, di sini, malam ini.

Perdana Menteri berkata, perkara dibincangkan ialah langkah mengukuhkan tekad dan muafakat antara dua negara serumpun, selain pelbagai isu yang menjadi kepentingan bersama seperti pelaburan, perdagangan serta tenaga kerja Indonesia.

“Kami juga senada untuk memastikan isu berbangkit membabitkan kedua-dua negara, dapat diselesaikan sesegera mungkin,” katanya dalam kenyataan selepas meluangkan masa kira-kira 20 minit pada pertemuan itu.

Selain itu, Anwar berkata, Ma’ruf turut menyentuh isu Palestin dan memaklumkan bahawa Hospital Indonesia di Gaza terpaksa dikosongkan selepas diserang rejim Zionis Israel.

Beliau berkata, kenyataan tegas bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo, berkaitan isu Palestin telah diutarakan di hadapan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, pada persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023 di San Francisco, baru-baru ini.

“Dalam pertemuan ini, Bapak Ma’ruf Amin turut memuji Kerajaan MADANI yang kini bertambah kukuh serta stabil, seraya berharap Malaysia dan Indonesia dapat bergerak sederap pada masa mendatang.

“Doakan agar hubungan kedua-dua negara terus mekar, sekali gus membawa manfaat kepada rakyat keseluruhannya, insya-Allah,” katanya.

Selepas pertemuan itu, kedua-dua pemimpin menghadiri Makan Malam Gala Forum Perniagaan Muslim Global (GMBF) 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, dan dijadual menyampaikan ucaptama perasmian pada majlis berkenaan.

Edisi kedua GMBF yang berlangsung mulai hari ini hingga 30 November ini, bertujuan merapatkan hubungan perniagaan dunia Islam dengan menjalinkan hubungan dan perkongsian lebih kukuh di seluruh dunia. – BERNAMA