Kejayaan gagasan Madani dalam pembentukan bangsa Malaysia yang dihormati memerlukan usaha daripada semua pihak, kata Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop.
Beliau berkata, ia juga memerlukan sokongan rakyat yang mempunyai ‘karamah insaniah’ ke arah pembinaan tamadun.
“Kita kena faham, kerangka Malaysia Madani ialah mengangkat perlembagaan dalam memastikan negara ini dibina berteraskan perlembagaan diikat dengan Rukun Negara yang melibatkan semua etnik dan wilayah yang dinamakan Malaysia.
Beliau mengulas demikian ketika menjadi tetamu Edisi Khas Sempena Satu Tahun Kerajaan Madani di program Podcast J-KOM pada Jumaat malam.
Ismail berkata, gagasan kerajaan Madani merupakan sebahagian daripada proses membina negara bangsa Malaysia yang bermula sejak kemerdekaan sehingga kini di bawah pentadbiran Perdana Menteri Ke-10 Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Justeru, Ismail berkata, acara besar-besaran Setahun Bersama Kerajaan Madani akan dianjurkan di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil pada 8-10 Disember ini, bagi memberi ruang rakyat melihat dan menilai sendiri apa yang mereka peroleh daripada kerajaan Madani menerusi pameran pencapaian semua kementerian serta perancangan jangka masa panjang kerajaan. – Bernama