Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Program MyLesen yang menawarkan golongan B40 dan belia mendapatkan lesen secara percuma akan diperluaskan tahun depan dengan penyertaan lebih ramai kumpulan sasar.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pada masa kini program itu untuk kumpulan belia B40 yang mana secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan dalam sektor ekonomi gig, pengangkutan awam dan pelancongan.

Beliau berkata, kerajaan tidak bercadang memperluaskan kepada semua belia di negara ini kerana ia akan memberikan implikasi kewangan yang cukup besar.

“Namun, kita mahu memperluaskan kepada lebih ramai peserta dalam kalangan belia B40 dan kini sedang mencari pendekatan bagi menampung kos program itu nanti,” katanya menjawab soalan tambahan Mohamad Shafiza Kepli (GPS-Batang Lupar) berhubung perluasan program MyLesen kepada lebih ramai kumpulan belia.

Terdahulu, menjawab soalan asal Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) mengenai rancangan mengurangkan kos bayaran pengambilan lesen, terutama lesen motor dan kereta disebabkan ramai remaja tidak mempunyai lesen akibat ketidakmampuan, Loke berkata, Mylesen berjaya menyelesaikan masalah berkenaan.

Katanya, Perdana Menteri memahami akan kekangan kewangan dihadapi golongan B40 dan belia untuk mendapatkan lesen memandu di Institut Memandu (IM).

“Atas keprihatinan itu, Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperuntukan RM4.7 juta bagi Program MyLesen tahun ini.

“Program ini memanfaatkan 13,000 peserta daripada golongan B40 dan belia untuk mendapatkan lesen yang sewajarnya secara percuma.

“Sehingga 19 November lalu, jumlah peserta yang berdaftar ke IM bagi mendapatkan lesen secara percuma sebanyak 9,994,” katanya.

Beliau berkata, program itu bertujuan menjadi pemangkin kepada golongan B40 khususnya ketua isi rumah untuk menjana pendapatan melalui manfaat lesen yang diperoleh daripada inisiatif berkenaan.

“Di samping itu, program ini juga memberi kesedaran mengenai peraturan dan aspek keselamatan jalan raya melalui kehadiran ke sesi kelas, latihan dan ujian.

“Individu yang berminat dikehendaki menjalani program ini selama tiga hingga lima bulan dengan kerjasama IM di seluruh negara bagi tujuan sesi latihan, kelas dan ujian,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Hasnizan bagi mengekang tindakan warga asing memandu tanpa lesen, Anthony berkata, tindakan penguatkuasaan dijalankan sepanjang masa oleh polis dan JPJ.

“Penguatkuasaan itu termasuk sekatan jalan raya yang ana pemandu warga asing tanpa lesen akan disaman,” katanya.-BH Online