Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal dengan pandangan segelintir pihak yang cuba mempolemikkan kelantangan beliau dalam menyuarakan isu Palestin di pentas dunia.
Perdana Menteri berkata, walaupun tahu ia adalah perkara sukar, sudah menjadi tanggungjawabnya bagi pihak rakyat Malaysia untuk menyuarakan isu berkenaan.
“Di sini ada juga suara sumbang mengatakan apa yang dilakukan kerajaan ini, kononnya ini risiko kepada negara, ekonomi negara …sedangkan di sini ada juga golongan rakyat minoriti yang tidak dibela. Saya kesal dengan pandangan sedemikian.
“Rakyat minoriti mana yang dibom, anak kecil mana yang dibunuh beramai-ramai, tanah mana yang dirampas, rumah mana yang dirobohkan, apakah tak boleh menilai kemanusiaan,” katanya dalam ucaptama pada Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri dan Anugerah Tokoh Mahir 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar; Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Anwar berkata, biarpun beliau dilihat lantang menyuarakan isu Palestin, ia tidak menghalang atau menggugat keputusan pelabur untuk terus datang ke Malaysia.
“Lihatlah polemiknya, bukan saya nak minta terima kasih tetapi saudara, saya boleh bersyarah kencang di sini, saya tamu kepada Presiden (Joe) Biden, untuk mencari kekuatan bagi menyatakan yang hak bagi pihak rakyat, itu tidak mudah tetapi saya bersyukur kerana kita lakukannya.
“Kalau tak berterima kasih pun, janganlah kutuk lagi, …walaupun saya sebut begitu, ia tidak mengganggu keputusan Google, keputusan Tiktok, keputusan Elon Musk untuk melabur di Malaysia,” katanya.
Kelmarin, Anwar ketika pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, menjelaskan bahawa kehadirannya ke persidangan-persidangan antarabangsa, yang menyaksikan beliau membangkitkan dengan lantang isu berkaitan Palestin, tidak bermakna masalah dalam negara terutama dalam kalangan minoriti tidak diendahkan.
Selain memenuhi undangan pemimpin antarabangsa, Anwar melihat persidangan berkenaan sebagai satu kesempatan untuk beliau membangkitkan isu berkenaan, yang bersifat kemanusiaan dan bukannya hanya bersifat agama semata-mata.
Anwar ketika menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini menyuarakan pendirian Malaysia berhubung isu Palestin dan mahu pembunuhan serta kekejaman di Gaza dihentikan segera.
Malah beliau menyuarakan pendirian Malaysia yang tidak mahu mana-mana pihak atau kuasa dunia untuk menentukan pendirian negara dalam isu terbabit.-BH Online