Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini bertitah bahawa keutamaan baginda sebagai Ketua Negara akan datang adalah menjaga kepentingan 33 juta rakyat Malaysia dan bukan hanya 222 wakil rakyat.

Sultan Ibrahim bertitah pemilihan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bukanlah satu kenaikan pangkat tetapi tambahan tanggungjawab yang memerlukan pengorbanan masa dan tenaga. 

“Saya merasakan negara pada hari ini telah dijangkiti satu virus yang pernah saya sebutkan dahulu…iaitu virus perpecahan. 

“Virus ini berpunca daripada pemimpin politik yang sanggup berbalah, caci-mencaci, menabur fitnah dan memecah perpaduan rakyat demi mengejar kuasa dan kedudukan demi kepentingan diri sendiri,” titah Sultan Ibrahim pada Majlis Istiadat Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Ke-65 di Dewan Singgahsana Istana Besar, di sini hari ini.

Justeru, baginda menyeru semua pemimpin agar bertolak ansur dan hormat menghormati antara satu sama lain untuk meningkatkan kemakmuran serta kesejahteraan hidup rakyat.

Majlis Raja-Raja dalam mesyuaratnya yang ke-263 (Khas) pada 27 Okt lepas, telah memilih Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh lima tahun, berkuat kuasa 31 Jan 2024. 

Sultan Ibrahim akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan pada 30 Jan tahun depan.-Bernama