Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan mengatakan akaun ketiga ataupun akaun fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mula dilaksanakan pada April 2024.
“Pada Februari 2024, akan diumumkan dividen bagi akaun KWSP dan selepas itu Kementerian Kewangan akan mengumumkan kaedah lebih terperinci mengenai akaun fleksibel yang juga akaun nombor tiga.
“Organisasi berkaitan boleh memberikan pandangan mengenai akaun fleksibel ini dan mereka boleh menulis kepada Kementerian Kewangan dan juga KWSP,” katanya selepas merasmikan mesyuarat lembaga pengarah dan Seminar Persatuan Keselamatan Sosial Asean (ASSA) ke-40.
Beliau berkata Kementerian Kewangan sedang meneliti perkara itu yang diumumkan perdana menteri dalam Belanjawan 2024.
“Kami akan melaksanakannya, tetapi perlu ada kaedah tertentu yang tidak terlalu menjejaskan pendapatan rakyat dan ia hanya boleh dikeluarkan waktu kecemasan.
“Apakah maksud kecemasan itu juga akan diperincikan kemudian. Jadi, kita tahu RM 145 bilion dikeluarkan melalui empat kali pengeluaran ketika Covid-19 dan selepas itu kerajaan buat keputusan tidak ada lagi pengeluaran.”
Bagaimanapun, katanya masih terdapat desakan pelbagai pihak membenarkan pengeluaran simpanan KWSP bagi tujuan kecemasan.
“Maka, kami akan membuat formula baharu, iaitu akaun ketiga. Jadi, perinciannya kemudianlah. Cadangannya bermula April tahun depan.”