Lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Fadillah Yusof ke China selama seminggu bermula 12 November lalu, membuahkan hasil memberangsangkan apabila negara itu menyatakan komitmen bagi menjalin kerjasama lebih erat, terutama berkaitan bidang pertanian dan komoditi minyak sawit.
Lawatan beliau yang juga menteri perladangan dan komoditi ke Shanghai dan Beijing itu bertambah bermakna apabila dimuktamadkan dengan komitmen negara Tembok Besar berkenaan peningkatan jumlah eksport sawit kepada 3.4 juta tan pada tahun depan daripada kira-kira 3.14 juta tan pada masa ini.
Rasionalnya, komitmen China ini penting kerana Beijing juga berperanan penting sebagai rakan dagang terbesar Malaysia sejak 14 tahun lepas selain mempunyai pasaran dari segi populasi kira-kira 1.4 billion penduduk.
Lawatan sulung beliau juga bersempena ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif di antara Malaysia dan China manakala tahun depan menyaksikan kedua-dua negara ini menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik.
Menyentuh produk sawit, Fadillah berkata kedua-dua kerajaan akan berusaha untuk menyelesaikan isu-isu perdagangan yang melibatkan tokotrienol sawit (vitamin e) Malaysia ke negara itu selain menggalakkan kerjasama institut-institut penyelidikan mengenai aplikasi teknologi terkini dalam industri komoditi.
Malah, beliau berkata China juga mengalu-alukan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) Malaysia yang akan membantu kedua-dua negara mencapai sasaran matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Selain itu, Kementerian Perladangan dan Komoditi Malaysia (KPK) dan Kementerian Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar China dijadual akan berbincang dan memeterai satu memorandum persefahaman (MOU) bagi mewujudkan mekanisme dua hala pada tahun depan.
“Kita telah bersetuju untuk merangka MOU itu yang diharap dapat dimeterai dalam tempoh empat bulan bersempena ulang tahun ke- 50 hubungan diplomatik kedua-dua buah negara,” tambah beliau.