Sorting by

×

Regatta Lepa, festival laut tahunan disambut masyarakat Bajau di sini memainkan peranan penting dalam melestarikan warisan masyarakat itu terutamanya menerusi tiga simbol utama festival itu.

Ketua Adat dan Budaya Semporna Panghulu Zainal Jalaludin berkata tiga perkara itu adalah pembuatan atau hiasan lepa iaitu sejenis perahu tradisi, ratu lepa mempersembahkan kemahiran igal atau tarian tradisi, dan sambulayang iaitu bendera tradisi berwarna-warni yang menjadi identiti masyarakat Bajau.

Foto: Bernama

“Pada permulaan Regatta Lepa saya menjadi penyelaras selama tujuh tahun dan festival ini tidak sama seperti regatta di tempat lain, di sini bukan pesta sukan laut semata-mata tapi unik kerana ada tiga perkara tersebut,” katanya kepada Bernama.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata ratu lepa akan menunjukkan kemahiran igal termasuk igal tabawan, igal limbayan dan igal panangsang dengan iringan muzik daripada alat muzik seperti kulintangan dan gong.

Bagi sambulayang pula, katanya terdapat dua jenis sambulayang iaitu tiga juraian dan lima juraian yang melambangkan identiti serta mempunyai makna paling dalam serta besar kepada pemiliknya.

Budaya warisan itu menurut Zainal akan sekali lagi mewarnai edisi ke-28 festival itu yang berlangsung tiga hari bermula semalam di Dataran Regatta Lepa di sini.

Regatta Lepa juga menyajikan pelbagai pengisian seperti sukan laut termasuk kayak dan tarik tali perahu selain pertandingan lepa tradisi berhias membabitkan lebih 180 lepa termasuk dari Filipina dan Indonesia.

Turut diadakan acara di darat seperti pertandingan ratu lepa atau kini dikenali sebagai Budjang Manis dan perarakan tanglung lepa.

Kali pertama dianjurkan pada 1962, festival itu dikenali sebagai Tamu Besar Semporna dan diadakan setiap tahun hingga 1965 sebelum dihentikan.

Ia diperkenalkan semula sebagai Regatta Lepa pada 1995 hasil idea Yang Dipertua Negeri Sabah ketika itu, Tun Sakaran Dandai yang juga anak jati Semporna.

Ketua Daerah Semporna Orang Kaya-Kaya (OKK) Abdul Majid Palah berharap menerusi festival tersebut budaya masyarakat Bajau dapat terus dipertahankan untuk kesinambungan tamadun dan diwarisi generasi akan datang.

“Melalui festival ini kebudayaan kita dapat diperkenalkan ke seluruh dunia yang kini termasuk dalam kalendar pelancongan Sabah, malah keunikan budaya dan pelancongan daerah ini saya harap akan menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara, seterusnya manfaatnya kepada Sabah serta Malaysia,” katanya.

Bagi penduduk Kampung Senallang, Tampakan Pihakan pula berharap Regatta Lepa yang dianggap sebagai satu perayaan di Semporna itu dapat diteruskan dan pelaksanaannya ditetapkan pada April seperti tahun-tahun sebelum ini.

“Kami harap orang luar dapat merayakan Regatta Lepa bersama kami di sini di Semporna, kita juga dapat sama-sama melihat sambulayang dipasang sebagai penanda budaya suku Bajau ada acara keramaian,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam kenyataan mengenai Regatta Lepa tahun ini berkata kerajaan negeri komited memastikan khazanah budaya bangsa di Sabah terus kekal dan terpelihara.

“Khazanah ini yang diwariskan kepada generasi berikut kita pastikan agar tidak pupus, di samping menjadi pemangkin kepada pelancongan berteraskan seni budaya serta warisan, justeru Regatta Lepa antara program mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan dan kebudayaan unggul bertaraf dunia,” katanya.-Bernama