Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

UMNO mendakwa PAS memilih Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon PRK Kemaman pada saat akhir akibat “gentar” dengan bekas panglima tentera Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menjadi calon dari Barisan Nasional (BN).

Menurut Ketua UMNO Terengganu Ahmad Said, sebelumnya difahamkan PAS pada mulanya mahu meletakkan penyandang sebelum ini Che Alias Hamid yang kemenangannya pada PRU15 dibatalkan oleh Mahkamah Pilihan Raya kerana terdapat wujud unsur rasuah ketika kempen.

“Asalnya keputusan dia orang lain, lepas itu pindalah bila dengar (calon BN) bekas jeneral,” kata pengarah jentera pilihan raya Umno bagi PRK Kemaman itu kepada wartawan.

“Bukan rasanya takut, memang takutlah…memang nampak sebab itu tukar calon MB (Samsuri) yang bertanding.”
PAS malam tadi mengumumkan Samsuri yang juga naib presiden parti itu sebagai calonnya dalam misi mempertahankan kerusi Kemaman.

Pada PRU15, Che Alias menang dengan majoriti 27,179 undi dalam pertembungan empat penjuru yang turut membabitkan Ahmad yang juga bekas menteri besar Terengganu.

Dalam pada itu, kemampuan Samsuri untuk menjaga Parlimen Kemaman, selain tugasnya sebagai menteri besar dan juga Adun Rhu Rendang turut disoal oleh Ahmad.

“Ada masa ke nak jaga rakyat? Sekarang ini jadi menteri besar, Rhu Rendang pun tak melawat, sekarang nak jaga Kemaman pula. Ingat senang ke MB nak jaga kawasan luas?,” soalnya.

Beliau yang juga bekas Adun Kijal berkata di sebalik calon ‘heavyweight’ diletakkan PAS itu, BN yakin Raja Mohamed Affandi mampu mencipta kejutan.

“Beliau orang Kemaman dan sekolah di sini. Sekarang pun kita dah turun ke lapangan jumpa pengundi-pengundi.”

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Kemaman pada 2 Dis dengan esok ditetapkan sebagai hari penamaan calon. – FMT