Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Gerakan Boikot, Penjualan dan Sekatan (BDS) produk Israel secara bersasar boleh diguna pakai kerajaan dan rakyat negara ini sebagai tanda sokongan kepada Palestin, yang kini mengharungi kezaliman dan serangan rejim zionis Israel.

Dalam satu kenyataan, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan aktivis penjagaan kesihatan, Dr Yolanda Augustin, jenama atau syarikat untuk diboikot yang disyorkan gerakan itu, bukan saja berdasarkan penyelidikan, malah diilhamkan gerakan anti aparteid Afrika Selatan, yang menggesa tekanan tanpa kekerasan ke atas Israel sehingga ia mematuhi undang-undang antarabangsa.

“Dengan kesedaran yang semakin meningkat mengenai impak boikot ekonomi, adalah penting untuk melihat perkembangan terkini oleh negeri di seluruh Amerika Syarikat (AS) sebagai tindak balas kepada kempen gerakan BDS.

“Sehingga kini, 27 negeri di AS menerima pakai undang-undang atau dasar yang menghukum sama ada perniagaan, organisasi atau individu yang menggesa boikot terhadap Israel, termasuk terhadap tindakan Israel dalam membina penempatan haram.

“Tindak balas yang sudah dijangka ini menunjukkan betapa berkesannya kempen gerakan BDS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Nurul Izzah dan Dr Yolanda berkata, program pendidikan pasca siswazah kepada pelajar Palestin dalam pelbagai bidang, yang mendapat sokongan Khazanah Nasional dan Yayasan Hasanah, perlu diperkenal dan diperluas, selepas berakhir pada 2019.

Pada masa sama, projek di bawah Fugee School, terutama bagi pelajar Somalia dan Afghanistan, serta Malaysian Relief Agency (MRA), yang mengoperasikan satu daripada sekolah Rohingya tertua, antara lain Yayasan Chow Kit dan Baitul Mahabbah perlu mendapat sokongan sepadan serta penerimaan berprinsip untuk memastikan ia beroperasi secara mampan.

“Sesungguhnya, kita pasti boleh menjadi Malaysia yang lebih baik untuk Gaza dengan memberikan sokongan yang konsisten kepada mangsa pembunuhan beramai-ramai dan konflik, di dalam dan luar negara.

“Malaysia, harus mempertimbang membenarkan pekerjaan dan akses yang lebih luas kepada pendidikan untuk pelarian supaya mereka dapat meneruskan kehidupan yang bermakna dan bermaruah.

“Mengikut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia, dua daripada setiap tiga kanak-kanak pelarian masih tidak mempunyai akses kepada apa-apa jenis pendidikan,” katanya.

Nurul Izzah dan Dr Yolanda turut mencadangkan supaya Malaysia, bersama Indonesia dan Turkiye berikrar membina semula hospital, perpustakaan dan masjid di Palestin, yang disasar dan dimusnahkan peluru berpandu Israel.

Katanya, sejumlah RM100 juta yang dikumpul untuk bantuan kemanusiaan ke Gaza dan dihantar secara berperingkat melalui Tabung Kemanusiaan menandakan langkah pertama yang penting, namun lebih banyak yang perlu dilakukan untuk menamatkan “pembersihan etnik, hukuman kolektif dan jenayah perang” yang berterusan di Palestin.

“Sementara kita meneruskan gesaan untuk gencatan senjata segera bagi menamatkan pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku di Gaza dan Tebing Barat, kita boleh memulakan langkah untuk memperbaiki kehidupan rakyat Palestin dan pelarian yang masih ada di negara ini, sambil bertindak secara strategik untuk mengasingkan negara penyangak dari segi ekonomi,” katanya.-Berita Harian Online