Malaysia menerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan meneruskan penyelidikan dan pembangunannya (R&D) untuk mengembangkan lagi produk nilai tambah berasaskan minyak sawit bagi pasaran China dan juga untuk dieksport ke negara-negara Islam lain.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof berkata setakat ini terdapat beberapa produk yang sedang dikomersialkan di China hasil daripada usaha Institut Penyelidikan dan Perkhidmatan Teknikal Sawit MPOB (PORTSIM).
“Setakat ini, kita amat berpuas hati dengan apa yang telah dihasilkan dan seterusnya kita perlu lihat bagaimana kita boleh perluaskan lagi penghasilan produk yang dapat di hasilkan dari PORTSIM yang sesuai dengan cita rasa dan kesesuaian pasaran di negara China.
“PORTSIM telah berjaya memberikan solusi dan membantu pihak industri menggantikan kaedah pengeluaran mereka dengan menggunakan minyak sawit,” katanya kepada media selepas lawatan beliau ke PORTSIM, di Shanghai, semalam.
Fadillah berkata, sebelum ini syarikat di negara tersebut menggunakan bahan lain bagi penghasilan produk mereka tetapi kini bagi memenuhi permintaan pasaran yang lebih besar mereka menggantikannya dengan menggunakan minyak sawit yang diiktiraf halal dan sesuai untuk menembusi pasaran dunia Islam.
Seterusnya, katanya, institut penyelidikan itu juga sedang meneliti produk kesihatan berasaskan tanaman serba boleh, tokotrienol.
“Kita juga akan berjumpa dengan menteri pertanian di sini untuk pengiktirafan dari segi standard pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) kita dengan produk pertanian mereka,” katanya.
PORTSIM yang ditubuhkan pada 2005 ialah cawangan MPOB di China dan bertujuan untuk membangun, mengembangkan dan memajukan pasaran minyak sawit Malaysia di China serta menyediakan sokongan teknikal dan khidmat nasihat untuk perusahaan berkaitan.
Fadillah sedang dalam rangka lawatan sulung rasminya ke China dari 12-19 Nov untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan serta pembinaan kapasiti dalam bidang komoditi, terutamanya dalam mempromosikan pensijilan MSPO di peringkat global.
Nilai eksport produk berasaskan sawit ke China pada 2022 ialah sebanyak RM16.41 bilion manakala nilai eksport minyak sawit Malaysia ke negara itu pada tahun yang sama ialah RM8.44 bilion.
Sementara itu, Pengurus Besar PORTSIM Yoong Jun Hao berkata institut penyelidikan itu telah menerima akreditasi China daripada China National Accreditation Services (CNAS) dan China Inspection Body and Laboratory Mandatory Approval (CMA).
“Ini adalah satu pengiktirafan kepada makmal kami bahawa kami juga memenuhi semua keperluan di China mengikut standard dan kualiti mereka.
“Selain itu, kami juga berada di sini untuk membantu memberi perkhidmatan kepada industri dengan mengembangkan pasaran mereka ke dalam segmen nilai tambah yang lebih tinggi di China dengan menjual lebih banyak produk hiliran daripada produk minyak sawit Malaysia melalui aktiviti R&D serta pengkomersilan kami.
“Menerusi ini, kami boleh membantu industri kita beralih ke segmen hiliran untuk menghasilkan lebih banyak produk nilai tambah, dan ini akan membantu mendapatkan pelanggan setia di China serta pada masa yang sama membantu negara kita mengembangkan lagi pasaran minyak sawit kita” katanya.
Yoong berkata setiap tahun, PORTSIM akan mencipta tiga hingga lapan produk baharu dan daging vegan (daging bagi orang yang makan sayur dan buah-buahan sahaja) adalah antara produk baharu pada tahun ini.
“Ia adalah produk akan datang kami yang menggunakan 100 peratus daging berasaskan minyak sawit dan ia mempunyai kesan kebaharuan dan corak yang sama seperti daging sebenar.
“Kami mengunjurkan pasaran vegan akan berkembang, terutamanya di China dan Eropah, oleh itu, produk ini mempunyai potensi yang amat besar,” katanya.