Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh mengumumkan kerajaan dijangka akan mengumumkan strategi baharu bagi menangani isu harga gula , walaupun digesa agar harga gula diapung atau harga siling runcit dinaikkan.

Menurutnya, perkara itu kini di peringkat akhir perbincangan bersama pemegang taruh, termasuk kementerian terlibat dengan mengambil kira pandangan pemain industri dan peniaga mikro.

“Kita mencari satu kombinasi, penyelesaian masalah. Nak industri juga gembira di mana tidak beri kesan harga makanan dan minuman… dalam masa yang sama jaga kepentingan peniaga dan pengguna,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, melalui data daripada Jabatan Perangkaan, purata setiap isi rumah menggunakan gula 2.6 kg sebulan, berbanding peniaga kecil-kecilan memerlukan lebih banyak gula dalam perniagaan mereka.

“Peniaga besar dia kena beli gula industri. Harga tak kawal, gula dalam paket 50 kg untuk buat cili sos, kicap. Mereka tak terkesan tapi yang terkesan jual apam balik, kuih bakar, akok. Kita panggil peniaga mikro.

“Jadi sekiranya kita naikkan harga gula, segmen inilah yang akan menaikkan harga makanan. Sebab tu kami kena berhati-hati dengan struktur harga baharu,” katanya.

Beliau mengulas berikutan cadangan Pengarah Urusan Mydin, Ameer Ali Mydin supaya kerajaan mengapung atau menaikkan harga siling runcit gula daripada RM 2.85 sekilo kepada RM 3.80, mengikut harga pasaran antarabangsa.

Sebelum ini pada Mac, Ameer menggesa pemansuhan harga siling susulan laporan bahawa industri penapisan gula sedang berbincang dengan kerajaan untuk mengapungkan harga siling runcit gula, yang menyaksikan kenaikan bersih hanya 1 sen sejak 2013.

Mengatakan harga gula tidak diselaraskan selama bertahun-tahun, Ameer turut menyeru kerajaan membenarkan mekanisme pasaran bebas dalam pasaran gula tetapi juga harus menghapuskan permit import untuk mengimport gula, bagi mewujudkan “padang yang sama rata”.

Pengerusi Felda Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek turut khuatir harga gula yang rendah akan membuat warga peneroka terpaksa menanggung kerugian berterusan.

Ia berikutan Felda pemegang saham FGV Holdings Berhad (FGV) dan Koperasi Permodalan Felda Bhd (KPF), yang memegang saham utama syarikat pengeluar gula utama negara MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM).

Harga kawalan runcit semasa yang ditetapkan oleh kerajaan adalah RM 2.85 sekilogram untuk gula kasar dan RM 2.95 sekilogram untuk gula halus.

Terdapat kenaikan 11 sen pada 2017 kepada RM2.95 sekilo sebelum harganya diturunkan kepada RM2.85 pada 2018.

Berkenaan penyelarasan subsidi, Fuziah berkata sebarang penyelarasan sewajarnya “tidak menambah beban kepada subsidi negara.”