Ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2024, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan semua penjawat awam yang berkhidmat di bawah pentadbiran kerajaan negeri Selangor akan menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak dua bulan setengah.
Katanya, pemberian BKK ini juga melibatkan anggota perkhidmatan kerajaan negeri yang gaji dibayar oleh Kerajaan Persekutuan.
Tambah beliau, pemberian ini adalah sebagai satu apresiasi dan perhargaan kepada penjawat awam serta mereka yang terlibat dalam menjayakan kutipan hasil Kerajaan Negeri Selangor.
“BKK kali pertama sebanyak sebulan gaji atau minimum RM1,000 sudah dilaksanakan sempena Aidilfitri lalu.
“Bagi BKK kali kedua, insentif sebulan gaji atau minimum RM1,000 dengan anggaran implikasi kewangan sebanyak RM40.03 juta akan dibayar pada 28 Disember nanti.
“BKK kali ketiga iaitu setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 akan dibayar pada Februari 2024 bagi meringankan beban penjawat awam untuk persiapan sesi persekolahan yang dijangka bermula Mac 2024,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
Amirudin berkata, pemberian BKK akan dilaksanakan berdasarkan pekeliling yang akan dikeluarkan oleh Bahagian Pembangunan Sumber Manusia (BPSM).