Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Mahkamah Tinggi mendapati bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersalah atas tuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram melibatkan dana Armada bernilai lebih RM1 juta.

Hakim Azhar Abdul Hamid berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap presiden MUDA dan Ahli Parlimen Bersatu itu.

Azhar akan mendengar rayuan Syed Saddiq dan hujahan kedua-dua pihak sebelum menjatuhkan hukuman.


Syed Saddiq didapati bersalah bersubahat bersama Rafiq Hakim, yang diamanahkan dengan dana Armada bernilai RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakannya.

Syed Saddiq pada ketika itu merupakan ketua sayap Pemuda Bersatu atau lebih dikenali sebagai Armada.

Beliau juga didapati bersalah menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

Syed Saddiq turut didapati bersalah melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya di sebuah bank di Taman Perling, Johor Bahru pada 16 hingga 19 Jun 2018.-FMT