Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Bengkel pascanilai Sukan Asia Hangzhou 2022 menemui beberapa penambahbaikan struktur perlu dilakukan agar ada konsistensi sekaligus meningkatkan prestasi bagi kontinjen negara pada temasya akan datang.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang mempengerusikan bengkel berlangsung selama lapan jam itu berkata, semua maklum balas diterima akan diberi perhatian demi meraih prestasi yang baik pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Beliau berkata, antara cadangan dan maklum balas diterima adalah program latihan bermula lebih awal, latihan sepenuh masa berbanding secara sambilan, penambahbaikan kemudahan serta peningkatan gaji atau elaun jurulatih.

“Banyak maklum balas kita terima hari ini. Kita akan teliti semua dan buat penambahbaikan seperti yang telah dilaksanakan untuk Sukan SEA Kemboja,” katanya kepada pemberita selepas bengkel berkenaan di Kuala Lumpur pada Rabu.

Bengkel pascanilai itu turut dihadiri oleh Ketua Kontinjen (CDM) Sukan Asia, Datuk Chong Kim Fatt dan wakil daripada semua sukan, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Universiti Sains Sukan Nippon (NSSU) Jepun, yang mempunyai jalinan kerjasama dengan MSN.

Hannah berkata, pada bengkel itu, wakil daripada sukan bertanding di Hangzhou, yang terlebih dahulu menghantar laporan diminta untuk menjawab beberapa perkara dan memberi maklum balas mereka.

“Selepas ini kita akan duduk dengan NSSU untuk melihat dan mendengar pandangan mereka. Hari ini mereka (wakil NSSU) mendengar dan ada tanya soalan, selepas ini kita akan duduk dengan mereka untuk melihat secara spesifik,” katanya.

Pada Sukan Asia Hangzhou di China pada 23 September hingga 8 Oktober lepas, Malaysia meraih enam emas, lapan perak dan 18 gangsa untuk menamatkan saingan di tempat ke-14 keseluruhan. – Bernama