Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pemimpin DAP tampil membuat laporan polis terhadap anggota parlimen Kepala Batas itu kerana tiada permohonan maaf daripada Siti Mastura Muhammad diisukan.

Ini semua berikutan tuduhannya terhadap Pengerusi DAP Lim Guan Eng mempunyai hubungan keluarga dengan pemimpin komunis Chin Peng dan Perdana Menteri pertama Singapura Lee Kuan Yew.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid membuat laporan tersebut di ibu pejabat polis daerah Brickfields di Kuala Lumpur, hari ini.

Melalui kandungan dikongsi dengan media itu, dalam laporan polis yang Syerleena menyifatkan kenyataan Mastura melalui video di Youtube itu tidak berasas, fitnah, palsu dan berniat jahat.

“Dr Siti Mastura tidak memberi penjelasan atau bukti untuk menyokong semua tuduhannya walaupun diberi peluang,” katanya.
Sebelumnya Guan Eng memberikan tempoh 48 jam, yang tamat hari ini, kepada Mastura bagi membuktikan dakwaannya sebelum dia mengambil tindakan lanjut.

Mastura dipercayai membuat dakwaan itu ketika program PAS di Kemaman, Terengganu, baru-baru ini.

Dia turut membuat dakwaan bahawa Guan Eng dan bapanya Kit Siang juga mempunyai hubungan kekeluargaan dengan ramai pemimpin DAP termasuk seperti Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, naib pengerusi Nga Kor Ming dan Teresa Kok dan ex officio Ngeh Koo Ham.

Sementara itu, Syerleena dalam laporan polisnya percaya kenyataan itu merupakan kesalahan bawah Seksyen 504 (pecah keamanan), dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan (menyebabkan khianat awam).

Katanya, ia juga melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 499 Kanun Keseksaan kerana melakukan fitnah jenayah.

Sementara itu, dalam kenyataan medianya selepas itu, Syerleena mengingatkan Mastura mengenai hadis yang menyebut bahawa Allah melaknat pihak yang menabur fitnah.

“Mastura mungkin terlalu baru dalam politik Malaysia atau tidak cukup terdedah kepada perkembangan isu semasa sehingga begitu dangkal akal fikirnya hatta sanggup memperjudikan reputasi sendiri sebagai seorang pembohong dan orang yang membangkitkan fitnah yang sedang tidur.

“Saya yang DAP ini tentunya tidak layak untuk memetik ayat-ayat agama di mata Dr Mastura. Namun saya percaya, beliau lebih terpelajar tentang hal ini,” sindir Syerleena.

Beberapa wakil rakyat DAP lain turut hadir menemanii Syerleena di balai polis hari ini.