Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan sejak 2020 kira-kira RM 700 juta dibelanjakan bagi tujuan mempromosikan kerajaan.
Beliau berkata kira-kira RM500 juta dibelanjakan ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) antaranya bagi tujuan membeli iklan media dan memasang papan iklan.
Anwar turut menerangkan bahawa jumlah tersebut turut meliputi penerangan berhubung inisiatif diambil kerajaan sepanjang Covid-19.
“Tapi Bera (Ismail Sabri Yaakob) tidak belanja setinggi itu kerana ada lebihan, sebab itu untuk tahun 2023 saya tidak ada peruntukan selain meneruskan kontrak semasa Bera.
“RM 700 juta lebih kurang diperuntukkan RM300 juta setahun itu bagi saya melanggar peraturan dan tatakelola serta keterlaluan,” katanya pada sesi pertanyaan perdana menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan P Prabakaran (PH-Batu) mengenai jumlah dibelanjakan untuk promosi dan publisiti menghebahkan pencapaian kerajaan menerusi semua platform media massa dari 2020 hingga kini.
Anwar berkata beliau juga telah mengarahkan mulai tahun depan Kementerian Kewangan tidak meluluskan lebih RM100 juta bagi tujuan promosi kerajaan.
“Sementara kita anggap penjelasan itu perlu, saya tidak fikir kerajaan harus dibebankan dengan iklan dan publisiti tambahan selain promosi daripada program kita turun ke bawah santuni rakyat dan dirakam melalui media masa termasuk media sosial,” katanya.