Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yakin Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menerusi Program Pra Tahfiz Tabika KEMAS, KEMAS mampu melahirkan generasi celik al-Quran kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata menjelang 2026 100,000 kanak-kanak huffaz akan dilahirkan menerusi program itu.

Beliau berkata pembentukan umat penghafaz al-Quran boleh membawa impak kepada pembangunan modal insan serta kesejahteraan umat Islam keseluruhannya.

“Pengisian Modul Pra Tahfiz Tabika KEMAS merujuk sepenuhnya Modul Hafazan Tadika Tahfiz Negeri Pahang dengan teknik hafazan dan kaedah pembelajaran secara fun learning dan bagi surah-surah dalam juzu’ amma dan surah pilihan (Juzuk 30) dengan Bacaan (Qiraat) Adab dan Tadabbur.

“Modul Pra Tahfiz Tabika KEMAS ini menyasarkan penglibatan sekurang-kurangnya 1,500 orang kanak-kanak yang mampu membaca dan menghafaz sehingga Surah Ad-Dhuha serta bersedia masuk ke Tahun Satu,” katanya.

Beliau membuat kenyataan demikian ketika ucapan di Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara KEMAS dan Yayasan Pahang yang berlangsung di Pusat Kegiatan Masyarakat KEMAS di Kampung Seri Batu, Sentul.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyaksikan pemeteraian MoA itu.

Turut hadir bersama adalah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Timbalan Menteri KKDW Datuk Rubiah Wang.

Ahmad Zahid berkata, kerjasama antara KEMAS dan Yayasan Pahang menerusi MoA itu akan melibatkan penggunakan Modul Hafazan Tadika Tahfiz Negeri Pahang (TTNP), khidmat nasihat, perakuan sijil kompetensi kepada pengajar, perakuan sijil tamat modul kepada pelajar Tabika KEMAS, penubuhan Jawatankuasa Pemantauan KEMAS-Yayasan Pahang, dan penyediaan tenaga pengajar.

“Kerjasama ini turut melibatkan Yayasan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran (Pinta) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang membantu dalam memberikan latihan kemahiran asas al-Quran seperti tajwid dan mahraj kepada pendidik Tabika KEMAS secara berkala di peringkat Parlimen atau negeri seluruh Malaysia,” katanya.

Kerajaan Perpaduan memperuntukkan RM20 juta menerusi Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Okt lepas, bagi melaksanakan Program Pra Tahfiz Tabika KEMAS. – Bernama