Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, akan memulakan lawatan kerja ke New Delhi, India, bermula esok hingga Selasa ini.

Ketika lawatan itu, Zambry dijadual mempengerusikan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (MSB) bersama rakan sejawat di India, Dr S Jaishankar.

Kedua-dua menteri akan membincangkan kerjasama sedia ada serta potensi kerjasama masa depan, selain bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

“Mesyuarat yang dijadualkan pada 7 November ini adalah mesyuarat kali keenam dalam siri MSB antara Malaysia dengan India.

Kali terakhir MSB diadakan adalah pada 2011 di Kuala Lumpur,” menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra).

Kenyataan itu memaklumkan kerjasama ekonomi, pertahanan, tenaga, kesalinghubungan, kesihatan, pendidikan, pelancongan dan penyiaran adalah sektor kerjasama yang akan dibincangkan.

Kedua-dua menteri juga akan menyaksikan pemeteraian beberapa dokumen penting, termasuk memorandum persefahaman (MoU) berkenaan Kerjasama dalam Bidang Penyiaran antara Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan Prasar Bharti India.

Selain itu, Pertukaran Nota antara Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) dengan Institut Hubungan Luar Sushma Swaraj (SSIFS) mengenai Kerjasama dalam Bidang Latihan Diplomat.

Seterusnya, Surat Niat antara Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) dengan Institut Kajian dan Analisis Pertahanan Manohar Parrikar (MP-IDSA) berkaitan kerjasama dalam bidang penyelidikan akademik juga akan ditandatangani.

Zambry turut dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Presiden India, Jagdeep Dhankhar, dan kedua-dua pihak akan membincangkan isu serantau serta antarabangsa, termasuk krisis kemanusiaan di Gaza.

Jalinan persahabatan yang erat antara Malaysia dengan India adalah bertunjangkan kerjasama ekonomi yang teguh dan hubungan antara rakyat yang kukuh.

Pada 2022, India merupakan rakan dagangan ke-11 terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan bernilai RM86.22 bilion (AS$19.63 bilion), meningkat sebanyak 23.6 peratus berbanding nilai dicatat pada 2021.

Lawatan kali ini dijangka memperkukuhkan lagi hubungan dua hala yang dinikmati kedua-dua negara. – BERNAMA