Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pertubuhan Parti Politik Antarabangsa, Liberal International telah mengeluarkan nama dan logo Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) daripada laman sesawangnya hari ini.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata Liberal International juga mengambil maklum bahawa KEADILAN bukan ahli pertubuhan itu sepertimana yang telah tersebar baru-baru ini.

“Saya tahu berdasarkan maklum biasa yang saya terima daripada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai contoh, kita mendapati ada lebih 200 aset, 200 kandungan berkait dengan liberal international yang cuba menyerang KEADILAN, menyerang saya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jadi memang ada ‘koordinated behaviour’ dan ini adalah serangan politik.

“Saya telah menjelaskan berdasarkan fakta, KEADILAN bukan ahli Liberal International. Jadi hentikan tohmahan dan fitnah yang cuba dilempar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemerkasaan OKU Celik Digital di Pusat Komuniti Pantai Eco Park di sini.

Tegas Fahmi, beliau akan meneliti keperluan tindakan perundangan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab serta berniat jahat yang mengaitkan KEADILAN dengan Liberal International.

Dalam pada itu, Fahmi berkata pemerkasaan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam bidang ekonomi digital akan terus diperhebat.

Foto: FB Fahmi

Fahmi berkata menerusi pelbagai program yang ditawarkan di PEDi, langkah itu mampu mengurangkan jurang digital dalam komuniti OKU, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran golongan tersebut dalam sektor pekerjaan.

Menerusi PEDI, para peserta OKU akan dilatih untuk mendigitalkan perniagaan mereka menggunakan ‘Facebook Page Marketing’, laman web Canva, ‘WhatsApp Business’ dan TikTok.