Malaysia akan memutuskan pendiriannya sama ada menyertai sidang Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) atau tidak di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) selewat-lewatnya Rabu ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini, Malaysia sedang menyelaras dengan negara yang terbabit dalam persidangan itu.
“Kita sedang menyelaras dengan negara terbabit. Setakat ini kebanyakan negara akan hadir.
“Jadi (saya) akan semak (perkara) ini dalam satu atau dua hari lagi,” katanya ditemui media selepas melancarkan Malaysia Digital Expo 2023 (MDX 2023) di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Beliau ditanya mengenai sama ada Malaysia akan memboikot APEC sebagai tanda solidariti terhadap Palestin.
Minggu lalu, Anwar menjelaskan Malaysia sedang berhubung dengan negara Asia lain termasuk China untuk mengetahui pendirian mereka sama ada mahu memboikot kehadiran pada APEC.
APEC adalah forum ekonomi serantau yang ditubuhkan pada 1989 untuk memanfaatkan saling kebergantungan yang semakin meningkat di Asia-Pasifik, dimana tahun ini, ia akan bersidang di San Francisco, California, AS bermula 11 hingga 17 November ini.
Sebanyak 21 Ekonomi Ahli APEC menyumbang hampir 40 peratus daripada populasi global, hampir 50 peratus daripada perdagangan global dan lebih daripada 60 peratus eksport barangan AS.
Ahli ekonomi APEC ialah Australia, Brunei, Kanada; Chile, China; Hong Kong, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Malaysia, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Russia, Singapura, Taipei, Thailand, AS dan Vietnam.