Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali memberitahu bahawa penawaran Kad Diskaun Khas Menu RAHMAH merupakan program rintis bersama di antara Kementerian dan pemain industri dalam sektor perdagangan dan pengedaran.

Beliau berkata, pihak KPDN menghargai komitmen enam pasar raya yang telah bersetuju untuk terlibat dalam pelaksanaan inisiatif ini iaitu pasar raya AEON BiG, Econsave, Giant, Lotus’s, Mydin serta NSK.

“Antara barangan yang ditawarkan dengan kadar diskaun kepada pengusaha Menu RAHMAH yang telah diluluskan penyertaan dalam program ini adalah barangan mentah seperti ayam, bawang dan barang asas makanan yang lain bagi membantu pengusaha mengurangkan kos penyediaan Menu RAHMAH,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pasar raya-pasar raya ini akan menawarkan kadar diskaun sehingga 40 peratus terhadap 5,000 stock keeping unit (SKU); tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh pasar raya.

Permohonan bagi Kad Diskaun Khas Menu RAHMAH ini telah dibuka bermula hari ini melalui portal https://menurahmah.kpdn.gov.my.

Inisiatif Menu Rahmah dilancarkan bekas Menteri KPDN, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 31 Januari tahun ini bagi membantu mengurangkan beban hidup rakyat terutamanya golongan kurang berkemampuan.

Menerusi program itu, restoran atau kafe yang mengambil bahagian dalam inisiatif tersebut menjual sajian atau menu dengan tawaran harga RM5. – Media Perpaduan