Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan mengadakan lawatan kerja dua hari ke Singapura untuk Sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-10, mulai hari ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata lawatan itu adalah pertemuan pertama Anwar dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dalam kerangka Sesi Pemukiman.

Pemukiman berkenaan adalah mekanisme dua hala peringkat tertinggi antara kedua-dua negara yang diadakan secara bergilir sejak 2007.

“Penganjuran Sesi Pemukiman ini tertangguh sejak 2019 berikutan penularan wabak COVID-19,” katanya kepada media Malaysia di sini, hari ini.

Zambry berkata, delegasi Malaysia terdiri merangkumi lapan menteri iaitu Menteri Luar, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Menteri Dalam Negeri; Menteri Pengangkutan; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi; Menteri Besar Johor; dan Premier Sarawak.

Turut serta ialah Peguam Negara dan pegawai kanan daripada kementerian dan agensi berkaitan.

Dalam Sesi Pemukiman Ke-10 ini, Perdana Menteri dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura yang baharu, Tharman Shanmugaratnam.

Zambry berkata, Anwar juga dijadual mengadakan pertemuan empat mata dengan rakan sejawatannya, diikuti Mesyuarat Delegasi Malaysia-Singapura.

Zambry berkata, delegasi Malaysia terdiri merangkumi lapan menteri iaitu Menteri Luar, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Menteri Dalam Negeri; Menteri Pengangkutan; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi; Menteri Besar Johor; dan Premier Sarawak.

“Sesi Pemukiman ini adalah platform perbincangan dua hala yang penting untuk kedua-dua negara menilai perkembangan kerjasama sedia ada, meneroka inisiatif baharu yang berkepentingan bersama, mencari penyelesaian isu tertunggak serta menetapkan hala tuju hubungan dua hala Malaysia-Singapura,” katanya.

Antara isu utama yang akan dibincang pada Sesi Permukiman ini adalah langkah menambah baik kesalinghubungan, usaha untuk memperkukuh kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara dan meneroka peluang kerjasama dalam tenaga boleh baharu.

“Kedua-dua pemimpin juga dijangka memperhalusi pendekatan yang bersifat progresif dan saling memanfaatkan dalam menyelesaikan isu dua hala yang tertunggak,” katanya.

Kedua-dua perdana menteri itu akan menyaksikan pemeteraian satu Memorandum Persefahaman dalam bidang keusahawanan dan satu surat sampingan untuk menambah baik peruntukan dalam Perjanjian bagi Tabung Pembangunan Perniagaan Negara Ketiga Malaysia-Singapura.

Satu Kenyataan Bersama di antara kedua-dua pemimpin akan dikeluarkan selepas Sesi Pemukiman berakhir.

Singapura adalah rakan dagangan kedua terbesar Malaysia.

Pada 2022, jumlah dagangan antara Malaysia dan Singapura meningkat 37.6 peratus kepada RM368.19 billion berbanding nilai dagangan pada 2021.

Malaysia dijangka menjadi tuan rumah Sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-11 pada 2024. -Bernama