Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa import beras masih terkawal dan mengikut harga pasaran antarabangsa.
Beliau mengulas mengenai adakah Padiberas Nasional Berhad (Bernas) mempunyai monopoli terhadap pengimportan beras sehingga menjadi punca bekalan beras tidak mampu dibeli pengguna.
“Saya tak dapat pastikan… tapi soal monopoli beras ini sudah diputuskan dulu dan ditandatangani untuk 10 tahun.
“Jadi kita kena runding. Tetapi kita boleh teliti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menikmati makan tengahari di Ramli Corner Selera Kampung, di sini, hari ini.
Sebelumnya, Datuk Ameer Ali Mydin, Pengarah Urusan Mydin membuat kenyataan mengenai monopoli Bernas dalam import beras menjadi sebab bekalan beras tidak mampu dibeli pengguna.
Melalui satu rancangan bual bicara dengan sebuah laman portal, Ameer berkata kerajaan perlu menguruskan kebimbangan keselamatan makanan negara dengan “memperuntukan sumber yang betul”.
“Jika anda benarkan saya import hari ini, kosnya RM32 bagi peket 10 kilogram, namun saya kena buat menerusi Bernas. Kos saya menjadi RM38. Mereka mengambil RM6 bagi 10 kilo.
“Siapa bayar ini? Penggunalah,” kata Ameer.
Oleh itu, beliau menyeru kerajaan agar membiarkan harga beras ditentukan oleh harga pasaran sekaligus menghapus monopoli beras. – Media Perpaduan