Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong yang ke-17.
Pelantikan tersebut berkuat kuasa pada 31 Januari 2024 dan akan berlangsung untuk lima tahun menurut Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.
“Menjunjung titah, saya memaklumkan, Majlis Raja-Raja dalam Mesyuarat Yang Ke-263 (Khas) berlangsung di Istana Negara pada 27 Oktober (hari ini) bersetuju mengisytiharkan, Sultan lbrahim, Sultan Johor dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVll, selama tempoh lima tahun mulai dari tarikh 31 Januari 2024.
“Majlis Raja-Raja juga bersetuju mengisytiharkan, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, selama lima tahun mulai dari tarikh sama.
“Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja yang berlangsung hari ini, dipengerusikan Sultan Terengganu dan dihadiri semua Raja-raja kecuali Raja Perlis dan Sultan Kelantan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Berdasarkan peruntukan Paragraf 3, Bahagian Pertama, Jadual Ketiga Perlembagaan, keputusan Majlis Raja-Raja ini telah dikemukakan kepada kedua Dewan Parlimen, ujar beliau.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sudah dimaklumkan,” katanya.
Pelantikan baharu itu menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan pemerintahannya berkuat kuasa 30 Januari 2024.
Al-Sultan Abdullah memegang tampuk kepimpinan negara selama lima tahun sejak 31 Januari 2019. – Media Perpaduan