Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersiap siaga menjamin keselamatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan kelantangan negara dalam isu Palestin.

Menegaskan kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tiada kompromi dalam soal keselamatan membabitkan pemimpin negara ini dan sudah pasti kawalan keselamatan akan dipertingkatkan dari masa ke semasa.

“Dari segi kawalan, kita (PDRM) akan tambah pengawal peribadi bagi memastikan keselamatan beliau sentiasa terjamin.

Sudah pasti, kawalan keselamatan terhadap Perdana Menteri menjadi keutamaan kita,” katanya di sini hari ini.

Razarudin turut berpandangan, ugutan yang diterima Anwar itu berkemungkinan juga melibatkan soal ekonomi atau lain-lain perkara berkaitan.

Dalam pada itu, beliau juga menegaskan, pemantauan berterusan turut dilakukan membabitkan keselamatan warga asing termasuk rakyat Palestin yang berada di negara ini.

Ujar beliau, kebanyakan rakyat Palestin yang berada di negara ini adalah dalam kalangan pelajar.

“Jadi, kita (polis) menerusi Cawangan Khas (SB) Bukit Aman, sentiasa memantau rapat sekiranya ada ancaman-ancaman tertentu dalam memastikan tahap keselamatan negara ini terus terjamin,” ujarnya.

Anwar ketika menyampaikan amanat pada Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil semalam mendedahkan beliau menerima banyak ugutan dari negara luar susulan ketegasan Malaysia mempertahankan nasib rakyat Palestin.

Anwar berkata, Malaysia akan kekal bebas dan terus mempertahankan kebebasan negara dan memperjuangkan kebebasan rakyat Palestin.

Himpunan dihadiri lebih 16,000 rakyat Malaysia pelbagai latar belakang, bangsa dan agama itu bertindak umpama ‘pembesar suara’ bagi menunjukkan sokongan Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin dan menekan tindakan kejam Israel. -Utusan