Kementerian Perladangan dan Komoditi hari ini membuat kenyataan bahawa negara akan terus mengimport getah bagi mendukung sektor pembuatan produk berasas lateks.
Timbalan Perdana Menteri, Fadhillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi mengatakan bahawa Malaysia masih mengimport getah dari negara pengeluar lain kerana pengeluaran getah tempatan dilihat lebih rendah daripada permintaan industri.
Beliau juga berkata, tindakan import getah dari negara pengeluar lain adalah bagi memenuhi keperluan permintaan domestik terutama daripada sektor pembuatan produk getah berasaskan lateks.
“Pada 2022, pengeluaran lateks negara hanya berjumlah 14,593 tan, sedangkan sektor pembuatan produk getah memerlukan 365,000 tan.
“Memenuhi permintaan pasaran eksport terutama getah kering. Pada 2022, negara mengeluarkan getah sekerap sebanyak 362,000 tan, namun permintaan eksport getah kering berjumlah hampir 1 juta tan,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) yang menyoal tindakan kerajaan yang masih mengekalkan import getah dari Thailand, Vietnam dan Afrika.
Beliau juga menambah statistik 2022 di mana pengeluaran getah hanya mampu menampung sekitar 4% dari jumlah penggunaan domestik.
“Meskipun pengeluaran lateks negara rendah, namun eksport bagi produk hiliran berasaskan lateks seperti sarung tangan getah adalah tinggi dengan jumlah sebanyak RM21.302 billion bagi 2022, iaitu 78% daripada jumlah eksport produk getah,” katanya. – Media Perpaduan