Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan menerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) memperuntukkan RM21 juta bagi pelaksanaan Program Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) selama setahun untuk menggalakkan pekebun kecil getah beralih daripada pengumpulan getah sekerap (cuplump) kepada penghasilan susu getah (lateks).

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata projek rintis itu bertujuan membantu menambah pendapatan golongan pekebun kecil getah sehingga 40 peratus selain membantu menampung bekalan lateks negara untuk sektor hiliran.

Beliau berkata, setiap pekebun kecil getah yang menyertai projek itu akan menerima empat manfaat insentif.

“Peserta layak menerima insentif bulanan berjumlah RM2 setiap satu kilogram (kg) bagi 100 peratus kandungan getah kering dan bayaran Insentif Penyertaan berjumlah RM200 setiap bulan selama setahun bagi pekebun kecil yang beralih kepada pengeluaran lateks.

“Selain itu, kadar bayaran Insentif Galakan berjumlah RM100 setiap bulan selama setahun bagi galakan pekebun kecil yang sedang mengeluarkan lateks.

“Bagi peserta yang mencatatkan produktiviti tahunan mencapai sasaran produktiviti antara 1,000 ke 1,499 kg bagi setiap hektar (Kluster 1), LGM akan berikan Insentif Produktiviti berjumlah RM1,000 manakala peserta yang merekodkan penghasilan lateks 1,500 kg ke atas setiap hektar setahun (Kluster 2) bakal menerima RM1,500,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Projek Rintis Model Baharu IPL dan Projek Rintis Kemampanan Getah Asli Malaysia (MSNR) di Institut Latihan Statistik Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata projek rintis itu membabitkan 1,500 peserta terdiri daripada pekebun kecil dan penyertaan tiga kilang pemprosesan di Perak, Kedah dan Sabah.

Melalui IPL, katanya, model perniagaan bekalan lateks akan menjadi lebih berkesan dengan memendekkan rantaian pemasaran melalui jualan lateks daripada pekebun kecil secara terus kepada kilang pemproses tanpa perlu lagi melalui orang tengah.

“Bagi tiga kilang pemproses lateks yang terpilih pula, mereka akan memperoleh manfaat berbentuk kebenaran khas selama setahun untuk membeli lateks secara bergerak dan secara terus daripada kluster pekebun kecil dalam negeri yang sama.

“Selain itu, LGM meminjamkan tiga unit RRIMeter kepada tiga kilang pemprosesan. Dengan penggunaan teknologi LGM itu, pekebun kecil dan kilang pemproses dalam penentuan kandungan getah kering (KGK) dengan pantas dan tepat, seterusnya dapat menentukan harga bagi aktiviti urus jual beli getah di peringkat lapangan.

“LGM turut meminjamkan tiga unit kenderaan reka bentuk khas bagi mengangkut lateks (special design vehicle) kepada tiga kilang pemproses yang menyertai IPL,” katanya.

Jelas beliau, projek rintis itu diharapkan dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap import lateks yang bernilai RM3 bilion pada 2022 bagi memenuhi keperluan penghasilan produk seperti sarung tangan getah seterusnya mengurangkan pengaliran wang ke luar negara.

Menyentuh mengenai MSNR , Fadillah berkata, ia adalah persediaan LGM bagi industri getah Malaysia ke arah pelaksanaan pematuhan MSNR di peringkat kebangsaan yang bakal melonjakkan Malaysia sebagai peneraju dalam penghasilan getah asli dan produk getah yang mampan di dunia.

Pada program itu, beliau turut merasmikan Kaunter Bergerak LGM seterusnya melawat komuniti pekebun kecil getah di Kampung Orang Asli Menderang, di sini.-Berita Harian