Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Malaysia dengan bangganya telah diumumkan sebagai Negara Hos Sambutan Hari Pelancongan Dunia atau World Tourism Day (WTD) 2025 oleh Pertubuhan Pelancongan Sedunia (UNWTO) sempena Perhimpunan Agung Sesi Ke-25 UNWTO.

Pemilihan Malaysia telah dibuat setelah mendapat pertimbangan teliti, sokongan dan undian daripada ketua-ketua negara dari 159 ahli UNWTO sekaligus mengiktiraf Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang unggul.

Pengumuman ini disambut gembira oleh YB Dato’ Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia yang menghadiri perhimpunan ini bagi mewakili Kerajaan Malaysia dan pemilihan Malaysia pada tahun 2025 merupakan sebuah penghormatan yang amat besar dari UNWTO kerana pertama kalinya akan diadakan di Malaysia.

Negeri Melaka pula akan menjadi lokasi Sambutan Hari Pelancongan Dunia ini pada tahun 2025 bertemakan ‘Tourism and Sustainable Transformation’.

Menerusi kenyataan YB Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Melaka di Facebook, beliau berkata pemilihan negeri Melaka sebagai tuan rumah pada 2025 nanti akan menjadi kesinambungan kejayaan kepada negeri Melaka setelah menjayakan Tahun Melawat Melaka 2024. Secara tidak langsung, penglibatan negeri Melaka turut akan memainkan peranan yang besar dalam menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026.

Hari Pelancongan Sedunia atau World Tourism Day merupakan satu peristiwa global penting yang diraikan oleh negara-negara dari seluruh dunia untuk mempromosikan kesedaran terhadap industri pelancongan dan potensinya untuk pertumbuhan ekonomi serta pembangunan sosial.

Sambutan ini mengambil berat mengenai isu-isu penting dalam industri pelancongan dan memberi tumpuan kepada pemuliharaan alam sekitar serta pembangunan lestari.

Sambutan ini akan menumpukan perhatian dunia kepada Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama. Ini dijangka akan meningkatkan jumlah pelancong antarabangsa yang melawat Malaysia sekaligus memberi impak kepada peningkatan ekonomi negara.

Malaysia yang dilihat sebagai negara yang aman, selamat dan stabil, merupakan landasan utama dalam menarik pelancong antarabangsa yang sentiasa mencari destinasi yang memberi jaminan keselamatan.

Keharmonian antara pelbagai etnik dan budaya di Malaysia boleh menjadi contoh kejayaan dan boleh menjadi rujukan kepada negara lain. Kepelbagaian budaya yang unik adalah elemen penting yang menarik pelancong dari seluruh dunia. Dari makanan, pakaian tradisi, hinggalah kepada seni dan budaya, Malaysia menawarkan pengalaman pelancongan yang unik dan sesuai dengan tema ‘Tourism and Sustainable Transformation’ yang mementingkan pemeliharaan warisan budaya.

Turut hadir ke Perhimpunan tersebut adalah Datuk Mohd Zamri bin Mat Zain, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, YB Datuk Wira Abdul Razak bin Abdul Rahman, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka dan YB Datuk Wira Zaidi bin Johari, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka. -Media Perpaduan