Sorting by

×

R Yuneswaran yang juga Ahli Parlimen Segamat bercadang mengemukakan usul di Dewan Rakyat untuk menyekat platform media sosial TikTok.

“Aplikasi seperti TikTok kini telah mengundang kegusaran banyak negara termasuk Malaysia dalam soal keselamatan siber.
“Kerajaan Belanda, India, Taiwan dan Norway merupakan antara kerajaan yang telah melaksanakan sekatan mutlak terhadap penggunaan aplikasi tersebut menerusi peranti milikan kerajaan sebagai langkah untuk melindungi ruang siber mereka daripada dicerobohi.

“Dengan itu saya akan membawa satu usul dalam masa terdekat menggesa Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dapat melaksanakan sekatan penuh berfasa terhadap TikTok,” katanya.

Sebelum ini, Menteri KKD Fahmi Fadzil berkata pematuhan TikTok terhadap undang-undang Malaysia masih tidak memuaskan dan mesti dipertingkatkan segera.

Dia secara peribadi menekankan perkara itu semasa pertemuan dengan pengurusan tertinggi TikTok, yang diketuai oleh naib presiden Tiktok Global Helena Lersch pada 11 Okt lalu.

Fahmi berkata, TikTok juga perlu lebih proaktif dalam membendung penularan berita palsu dan kandungan fitnah di platform tersebut termasuk penyebaran Coordinated Inauthentic Behavior (CIB).

Fahmi sebelum ini ketika mengulas keputusan Indonesia berkata dia akan berhubung dengan kerajaan Indonesia bagi mendapatkan maklumat secara terperinci mengenainya dan juga daripada pengurusan TikTok.

“Saya ambil maklum ada ramai yang setuju, ramai kurang setuju, tapi kita ingin faham dahulu keadaan secara keseluruhan.

“Konteks di Malaysia berbeza daripada Indonesia tapi saya lihat ada keperluan untuk melihat secara keseluruhan,” kata Fahmi.

Sementara itu, Yuneswaran turut mendakwa bahawa aplikasi TikTok yang dibangunkan oleh syarikat China Bytedance turut menggugat ekosistem perniagaan rakyat tempatan. -Media Perpaduan