Langkah Malaysia untuk mengurangkan kebergantungan kepada Dolar Amerika Syarikat (USD) menerima perkembangan positif apabila penggunaan Ringgit Malaysia (RM) dalam perdagangan oleh negara serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, China antara negara paling aktif menyambut usaha untuk mengurangkan kebergantungan terhadap mata wang AS itu dan pada sama juga Malaysia antara negara ASEAN yang agresif dalam menyokong inisiatif ini selepas memeterai perjanjian Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan (LCSF) pada Sidang Kemuncak Asean, tahun ini selain menjalankan rundingan antara Vietnam dan Kemboja.
“Cuma masalahnya, bila syarikat itu terlibat dalam perdagangan antarabangsa yang lain, jadi mereka sukar untuk mengambil kira kepentingan dua negara sahaja.
“Kemudian saya tidak lihat ada minat Jepun dan Hong Kong. (Kalau) kita mengikut urutan kepentingan perdagangan ialah Thailand. Indonesia telah masuk (minat), Korea tidak, India masih mengenakan sekatan penggunaan rupee luar India melainkan untuk warganegara India. Jadi rundingan itu mengambil masa.
“Malah, Vietnam dan Kemboja juga sudah memberi perakuan turut serta melalui perjanjian LCSF pada Sidang Kemuncak Asean di Jakarta, Indonesia, baru-baru ini dan Presiden Vietnam memberi arahan supaya proses rundingan antara dua negara dipercepatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini. Perdana Menteri menjawab soalan tambahan Datuk Seri Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang bertanyakan adakah kerajaan bercadang untuk memperluaskan penggunaan mata wang tempatan dengan negara-negara yang mempunyai nilai dagangan yang tinggi dengan Malaysia khususnya di peringkat ASEAN dan BRICS iaitu kumpulan ekonomi sedang pesat membangun terdiri Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan.
Dedolarisasi merujuk kepada tindakan meninggalkan penggunaan dolar AS sebagai mata wang antarabangsa untuk pelbagai transaksi dagangan.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan memberitahu, Singapura tidak menunjukkan minat yang terlalu mendalam untuk menggunakan wang tempatan walaupun nilai perdagangan antara Malaysia dan negara itu adalah paling tinggi iaitu 15 peratus.
“Kenyataannya adalah bahawa dolar masih merupakan kekuatan utama dalam perdagangan antarabangsa,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, terdapat juga cadangan untuk melibatkan negara-negara BRICS namun belum ada usaha untuk memperluaskan dedolarisasi ke Afrika dan Latin Amerika.
“Tetapi saya percaya dengan kejayaan ASEAN, dengan China ini menjadi tanda petunjuk untuk memungkinkan (tarikan negara-negara BRICS) kerana ada keuntungan bagi memperkukuh kedua-dua mata wang tempatan,” katanya. – Media Perpaduan