Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan mempertimbang untuk menaikkan elaun kesusahan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) sebagai motivasi kepada mereka menjalankan tugas.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ketika ini elaun pasukan dianggotai 141 orang membabitkan tiga agensi utama itu masih rendah.

Selain itu, beliau berkata Jawatankuasa Pusat Bencana Negara turut mencadangkan pasukan itu diperbesarkan membabitkan tujuh agensi lain.

“Untuk itu munasabah kalau elaun kesusahan dapat ditingkatkan untuk memberi motivasi supaya hanya yang terbaik dari pasukan mereka dipilih SMART.

“Sama seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terbaik masuk Unit Tindakan Khas (UTK) manakala Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula komando termasuk Pasukan Khas Laut (PASKAL),” katanya pemberita selepas melancarkan Bulan KesiapsiagaanNasional 2023 (BKN 2023) di Markas SMART di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sabah dan Sarawak), Datuk Armizan Mohd Ali.

“Kita akan memohon elaun itu secepat mungkin kerana kerajaan tiada masalah berikutan kita amat menghargai pasukan SMART,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, SMART adalah pasukan mencari dan menyelamat antara terbaik di dunia.

Malah katanya, baru-baru ini pasukan itu yang menyertai misi menyelamat mangsa gempa bumi Turkiye dan Syria turut mendapat pengiktirafan dari Presiden Turkiye.

“Selain itu mereka turut mendapat pengiktirafan daripada beberapa agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

Sementara itu, ketika berucap, Ahmad Zahid menyeru supaya agensi yang terbabit dengan pengurusan bencana supaya memanfaatkan pengurusan teknologi dan maklumat bencana terintegrasi bagi memperkasakan usaha menyelamat.
Beliau berkata usaha itu penting untuk membantu lebih mengetahui mengenai setiap risiko bencana yang bakal melanda. – Harian Metro