BIDANG pengajian berkaitan industri kenderaan elektrik (EV) akan diperkenalkan di Kolej Vokasional (KV) bagi merancakkan Dasar Automotif Nasional (DAN).
Timbalan Menteri Pendidikan (KPM) Lim Hui Ying berkata, KV Pengerang Johor akan memulakan pengajian EV iaitu Teknologi Automotif Hibrid dan Kenderaan Elektrik (EV) pada tahun 2026.
“Perancangan prabina sedang dilakukan bagi memastikan kursus yang bakal ditawarkan ini dapat disiapkan mengikut garis masa yang telah ditetapkan.
“Manakala elemen Teknologi Automotif Hibrid dan Kenderaan Elektrik (EV) serta Teknologi Robotik diterapkan dalam kurikulum di 53 buah KV yang menawarkan program Teknologi Automotif yang pada ketika ini memang berupaya untuk meningkatkan pengetahuan murid terhadap teknologi terkini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Hui Ying berkata demikian menjawab pertanyaan lisan pertama Dewan Rakyat hari ini daripada Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) yang ingin tahu perancangan KPM untuk menambah bilangan kolej vokasional yang akan menawarkan kursus kemahiran dalam industri EV.
Menurutnya, terdapat dua Kolej Vokasional yang sedang beroperasi di Parlimen Wangsa Maju iaitu KV Setapak dan KV ERT, Setapak.
KV Setapak menawarkan kursus yang berkaitan teknologi automotif yang menerapkan elemen EV.
“KPM juga komited memastikan graduan TVET KPM relevan dengan pekerjaan masa hadapan dengan memastikan kandungan kurikulum bagi program diploma yang ditawarkan di KV diberi nilai tambah teknologi terkini selaras dengan perkembangan industri 4.0 melalui perubahan kurikulum baharu.
“Sebagai contoh, smart farming dan internet of things (IoT) dalam bidang pertanian yang di integrasikan melalui latihan amali bagi program pertanian di lima buah kolej vokasional (KV) Pertanian KPM yang menawarkan program pertanian seperti KV Teluk Intan, Perak, KV Chenor, Pahang, KV Pasir Puteh, Kelantan, KV Dato’ Lela Maharaja, Negeri Sembilan dan KV Lahad Datu, Sabah,” katanya.
Pada masa sama, Hui Ying berkata, elemen IoT dan artificial intelligence (AI) juga diterapkan dalam kurikulum di 23 buah KV yang menawarkan program Teknologi Sistem Komputer dan Rangkaian melalui pelaksanaan Sistem Rumah Pintar (Smart Home). –Media Perpaduan