Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TANJONG Malim bakal bertukar wajah menjadi sebuah hab automotif global untuk kenderaan tenaga baharu (NEV).

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bandar di selatan Perak itu menjadi lokasi projek Automotive High Tech Valley (AHTV) yang bakal dikembangkan mencakupi pembangunan bakat, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembandaran.

Perdana Menteri berkata, AHTV adalah satu projek mega membabitkan pelaburan berjumlah RM32 bilion dipelopori syarikat Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd. (Geely) bersama-sama DRB-HICOM Berhad.

“Turut disaksikan pemeteraian Dasar-Dasar Utama Perjanjian antara Altel dan Geespace Technology (syarikat pelaburan strategik Geely) yang memberi tumpuan kepada pembangunan dan pelaksanaan sistem teknologi tinggi serta memangkin pelaksanaan penyelesaian inovatif bagi sektor-sektor seperti pelabuhan pintar.

“Sokongan Kerajaan Perpaduan serta kelancaran projek ini menjadi contoh kepada pelabur-pelabur terhadap pendekatan Malaysia dalam memudah cara pelaburan dengan cekap dan segera.

“Semoga projek ini berjaya seperti yang dirancang, Insya-Allah,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri hari ini berkunjung ke Proton City, Tanjong Malim, bagi mempengerusikan mesyuarat terkait projek AHTV.

Anwar berkata, selepas mesyuarat, beliau menyaksikan pemeteraian Perjanjian Kolaborasi Utama antara DRB-HICOM dan Geely sebagai komitmen kedua-dua pihak dalam sama-sama menjayakan AHTV. -Media Perpaduan